6.07.2015

, , ,

SIARAN MEDIA YB MENTERI PENDIDIKAN II: “KEDUDUKAN MALAYSIA MENINGKAT DALAM RANKING UNIVERSITAS 21”



SIARAN MEDIA

DATO’ SERI IDRIS JUSOH
MENTERI PENDIDIKAN II

 “KEDUDUKAN MALAYSIA MENINGKAT DALAM RANKING UNIVERSITAS 21”

PUTRAJAYA, 4 Jun 2015 – Pada tahun 2015, Malaysia berada di kedudukan ke-27 secara menyeluruh dalam ranking Universitas 21 (U21) tentang sistem pendidikan tinggi di kalangan 50 negara berbanding 28 pada tahun 2014.

  1. Dari segi sumber, Malaysia berada pada kedudukan ke-8 dari segi peruntukan kerajaan terhadap sektor pendidikan tinggi sebagai peratusan KDNK, dan kedudukan ke-12 jika diasaskan kepada peruntukan untuk setiap pelajar. Ini menunjukkan kerajaan terus memberi tumpuan yang tinggi kepada sektor pendidikan tinggi dengan menyalurkan sumber yang tinggi demi pembangunan dan perkembangan institusi-institusi pendidikan tingginya.

  1. Dari segi pengetahuan kepada sektor perniagaan, Malaysia berada di kedudukan ke-6 berbanding kedudukan ke-12 bagi tahun 2014. Bagaimanapun, Malaysia berada di kedudukan ke-30 untuk peruntukan bagi pembangunan dan penyelidikan (R&D) terhadap institusi pendidikan tinggi negara.

  1. Malaysia kini berada pada tahap ke-17 untuk pelajar-pelajar antarabangsa. Institusi pendidikan tinggi Malaysia berada di kedudukan ke-22 untuk jumlah penerbitan dan kedudukan ke-33 untuk penerbitan per kapita penduduk. Pengurangan pemarkahan pemberat kepada aspek penerbitan mulai tahun ini telah menyebabkan penurunan kedudukan Malaysia dari segi aspek tersebut.

  1. Malaysia berada pada kedudukan ke-32 dalam kategori universiti terbaik dan ke-39 bagi pencapaian pendidikan bagi staf akademik.

  1. Secara keseluruhannya, peningkatan sistem pendidikan tinggi dalam Ranking U21 merupakan sesuatu yang membanggakan dan memberangsangkan. Usaha warga pendidikan tinggi, termasuk pensyarah, penyelidik dan pelajar institusi pendidikan tinggi harus dipuji. Saya ingin berterima kasih kepada mereka dan menyeru warga pendidikan tinggi untuk meneruskan usaha-usaha terutamanya dalam penyelidikan yang berimpak tinggi demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat. Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa menyokong usaha-usaha warga pendidikan tinggi demi memastikan peningkatan yang berterusan.

Latar Belakang U21
  1. Universitas 21 merupakan gabungan rangkaian 25 universiti penyelidikan utama yang diterajui oleh University of Melbourne, Australia. Ranking U21 adalah ranking terhadap sistem pendidikan tinggi negara secara menyeluruh (national higher education system ranking) dan bukan sahaja tertumpu kepada universiti secara berasingan.+

  1. U21 bukan sahaja tertumpu kepada universiti penyelidikan tetapi juga kepada pembangunan ekonomi, sosial dan budaya sesebuah negara. Ini berlainan dengan QS World University Rankings, Times Higher Education World University Rankings, dan Shanghai Academic Rankings of World Universities yang membandingkan institusi pendidikan tinggi.

  1. Ranking U21 membandingkan sistem pendidikan tinggi negara bagi 50 negara di seluruh dunia menggunakan 25 atribut/ ciri-ciri yang diklaskan kepada empat modul utama iaitu (i) Sumber; (ii) Persekitaran; (iii) Perhubungan (Connectivity); dan (iv) Output.

  1. Ranking U21 adalah berdasarkan kepada setiap modul utama dan juga penerafan secara menyeluruh. Output diberi pemberat pemarkahan sebanyak 40%, dan modul-modul lain diberi pemberat pemarkahan sebanyak 20% setiap satu.

DATO’ SERI IDRIS JUSOH
PUTRAJAYA
4 Jun 2015


0 comments:

Post a Comment