بسم الله الرحمن الرحيم
Besar tanggungjawab saya kali ini. Nama saya naik untuk hadir ke taklimat penubuhan pasukan KIK sekolah pada 13 April 2016. Tinggi hasrat pengetua untuk saya mengetuai pasukan inovasi sekolah. Saya sendiri merasakan ini peluang yang tak boleh saya sia-siakan. Namun, perasaan saya ini mungkin tak sama dengan orang lain kan?
Arahan yang mudah, saya terima tanpa banyak tanya. Saya juga perlu beri satu nama guru yang akan bersama-sama saya untuk hadir taklimat. Terlintas hanya nama kak Hiyah. Entah kenapa? Tak ada alasan. Mesti kak Hiyah pun akan marah saya sebab cadangkan namanya. Tapi, kak Hiyah bagus. Dia juga hadir ke taklimat bersama-sama dengan saya, tanpa banyak tanya.
Saya masih ingat, tahun terakhir saya terlibat dengan kumpulan KMK di Johor dahulu, itupun 5 atau 6 tahun lepas dengan pasukan pembantu makmal. Sempat juga ke peringkat negeri merebut piala SUK Negeri Johor.
Taklimat yang mengambil masa lebih kurang 3 jam, membawa otak saya merawang-rawang. Apa projek nak buat? Kak Hiyah kata, dia ikut sahaja. Sudahlah tu, setiap sekolah di Petaling Utama wajib hantar satu pasukan.
Lepas mesyuarat, kami singgah makan di Sambal Hijau, Kampung Sungai Penchala. Dan kami masih lagi, dok berkira-kira, siapa yang kita nak dimasukkan dalam kumpulan inovasi sekolah.
Bukan apa, siapa sahaja yang sanggup dapat kerja tambahan? Siapa sahaja yang sukarela untuk menjadi ahli pasukan inovasi? Sebab tambah kerja, tambah beban, tambah masa dan pastinya, bila dah mula, kena habiskan sampai siap. Ini bukan perkara senang.
Kami berdua berkira-kira depan pengetua. Pengetua memberi pandangan dan mengingatkan bahawa ahli pasukan KIK mesti berlapang dada jika terpilih. Dan akhirnya, kami dapat 7 nama tambahan. Mereka ialah Encik Mazlan, Pn Helma, Pn Siti Zubaidah, Pn Fazlinda, Puan Norbaya, Pn Ramlah dan Ustaz Wan. Kami beri juga peluang, pada sesiapa yang rasa diri terbeban untuk tarik diri, namun semuanya berbesar hati dan sanggup memberikan komitmen dengan baik.
Alhamdulillah, sejak 14 April lepas sehingga kini, pasukan ini berganding bahu dan saling menyokongdengan baik. Oleh kerana kami campur sesi pagi dan petang, kita jarang-jarang dapat kumpul serentak sekali.
Namun, telegram menjadi perantara komunikasi kami. Sebagai fasilitator, saya lebih selesa bergerak secara santai dengan pasukan-pasukan, memberi kelonggaran dan meminta tugas dilaksanakan mengikut kemampuan. Saya mengalu-alukan perbincangan dan perdebatan secara terbuka, malah meraikan kekurangan untuk menjadi lebih baik.
Sekarang, semasa gambar di atas diambil, inovasi kami sedang melalui proses uji-lari. Dan kami sangat-sangat gembira kerana sebahagian besar guru di sekolah menyokong kami.
Pada waktu mula-mula kami rasa takut, kini kami rasa sangat bersemangat untuk menyelesaikan inovasi untuk ditunjukkan pada semua warga sekolah.
Malah saya dapat rasakan pasukan kami macam satu keluarga. Meskipun banyak kekurangan, kami sokong dan bantu sama-sama,sehinggakan saya tak nampak kekurangan itu.
Harapan saya? Pastinya saya ingin membawa kumpulan saya menyertai konvensyen pada bulan Ogos nanti.
Lupa pula nak bagi tahu inovasi kami ek? Bawah pengurusan HEM dan selebihnya adalah rahsia.
Doakan kami ek.