10.22.2018

Cikgu Konvo Master




Selepas 2 tahun memendam segala perasaan semasa sambung belajar separuh masa, maka tibalah masa yang dinanti-nantikan. Segala perit jerih semasa belajar telah saya abadikan pada entry Cikgu Sambung Master . Hari ini nak cerita part-part yang best aje.


12 Oktober 2018 - Hari ini pergi ambil jubah. Saya plan dengan Suhaidah untuk ambil jubah sama-sama. Kami berjumpa di fakulti. Kami naik satu kereta.

Hanya ikut stesen yang telah ditetapkan untuk proses pengambilan jubah.
Cubaan jubah saiz S. Konon dah kurus. 

Barang-barang yang perlu dibawa semasa istiadat. Berdebar weyh masa ni. 

21 Oktober 2018 - Kami bawa Mak, Abah dan Emi pergi sekali dengan kami. Rasa macam dah awal habis dah, rupanya ada lagi yang lagi awal. Anyway, rezeki kami, Abe dapat parking di kawasan yang berhampiran dengan Dewan Tuanku Canselor. Alhamdulillah. Saya terus turun, untuk lari masuk ke dalam ruang menunggu. Mak dan Abah masuk ke dalam dewan besar, dan Abe hanya tunggu di luar. Tahu sangat perasaan beliau masa tu, apa boleh buat. Hanya ada dua tiket sahaja kan. 

Dalam kereta lagi, saya dah memasang tekad. Saya akan senyum sehabis mungkin sepanjang hari ini. Yer, senyum sahaja kerana saya layak tersenyum. Saya tak nak muka saya dalam gambar konvo masam. Saya mesti senyum. 
Berlatarbelakangkan graduan-graduan lain dari fakulti pendidikan 
Perarakan masuk ke dalam dewan konvokesyen 
Masa ni, berdebar sangat-sangat duduk dalam dewan. Duk tertanya-tanya, mak abah kat belah mana?
Bersama mak abah dan Emi tercayang. Eh, nama sungai tu sama dengan nama Abah lah. 

Graduan Sarjana Pendidikan ( Pendidikan Islam )


Yesszaaaa...... selesai bergraduasi!!!!


Suami kesayangan saya, mmuaahh!!!


Ini lah guru saya, Prof Madya Dr Zaharah binti Hussin. Sayang Dr!!




Sesungguhnya, perjalanan itu sangat panjang. Namun, kekuatan mesti turut ada dalam perjalanan ini. Saya masih tak serik lagi, dan merasakan belajar itu satu kekuatan untuk saya dalam apa jua yang saya lalui. Jangan pernah patah semangat. Teruskan dengan senyuman. 



10.21.2018

Cikgu Sambung Master






Semester 1 2015
-------------------

Lepas daftar subjek, baru tahu kelas hari Jumaat petang. Maka, bermula edisi usaha untuk setelkan masalah ni. Aku jumpa rakan-rakan panitia dan minta tolong, kalau2 ada yang nak switch sesi pagi ke petang dan aku ke sesi pagi untuk hari Jumaat sahaja. Malangnya, masa tu memang tak ada yang boleh bantu. Ni idea pentadbir suruh aku buat macam ni, ini dikira budi bicara pentadbir lah ni kan. Serabut kepala fikir, sampai ada rasa nak berhenti dah. Aku call Dr Zaharah, masa ni beliau KJ. Pesan Dr Zaharah, jangan berhenti. Kelas tak perlu datang, datang untuk presentation dan exam aje. Sebenarnya tak boleh macam tu. Tapi atas budi bicara KJ, semuanya dipermudahkan. Lega sangat tak tahu nak kata.  Alhamdulillah, survive untuk semester pertama ni dengan selamat. 





Sem 2 2015
—————

Masa ni, apply biasiswa MyBrain15 untuk kakitangan kerajaan yang buat part time master. Kak Waheedah Tang, beri saya tumpang scanner kat rumah dia dan hantar permohonan on-line. Atiqah Hani, teman pergi UM buat pengesahan sampai kereta rosak kat parking sebelah Pejabat Bendahari. Berkat doa-doa orang yang baik disekeliling saya, saya dapat biasiswa ni. Nak mula semester, sekali lagi mengadap pentadbir, memohon budi bicara. Sebab saya mengajar petang masa ni, guru Pendidikan Islam memang ada dua orang sahaja. Kalau saya tak ada, kak Kiah lah yang kena cover. Murid ramai pulak tu. 

Mohon juga supaya jadual ejas sikit supaya saya boleh pergi kelas kul 3 petang. Masa ni pun, nasib saya tak berapa baik. Saya masih ingat, salah seorang pentadbir cakap dengan saya, pergi pindah sekolah lain. Sekolah boleh cari ganti cikgu lain. Sampai sekarang saya tak kan lupa. Sebelum tumpah air mata, saya sempat mesej Pengetua dan Ketua Panitia satu sekolah di PJ. Saya ceritakan masalah saya, dan pengetua tu kata, awak boleh pindah sekolah saya kalau setakat itu aje masalahnya. Masa itu happy sangat dah, sebab ada juga orang nak bantu. Bila Pengetua sekolah saya dapat tahu, dia tawarkan saya untuk ambil CRK pada hari-hari saya patut pergi kelas. Sebab masa tu surat kelulusan belajar dari jabatan belum sampai. Sungguh, habis CRK saya 7 hari saya pakai, berturut-turut. Dan inilah budi bicara En Abd Ghaffar beri kepada saya. 

Saya bersyukur sangat-sangat. Masa yang diberi saya pakai betul-betul. Dan Kak Kiah adalah orang yang paling berjasa sangat dengan saya. Kak Kiah paham sangat keadaan saya. Walaupun pada masa yang sama ada yang kecam dan membawang pasal saya kat belakang saya, saya pedulik hapa. Sebab diorang tetap kat belakang saya. 






Semester 3 2016
——————

Tahun baru, semangat baru. Perkara yang saya perjuangkan akhirnya dipermudahkan. Semester 3 saya hanya ambil 1 subjek. Kelas jam 6 petang. Atas budi bicara pentadbir, jadual saya dapat ejas berakhir jam 5.30 petang. Memang sempat saya drive ke UM tiap-tiap petang Jumaat. Alhamdulillah, lega yang teramat sangat. Allah SWT mudahkan segala urusan. Bila jadual saya berakhir jam 5.30 petang, bermakna jadual kak Kiah pun sama. Jadi, Kak Kiah tak perlu nak ambil kelas saya untuk cover. 




Semester 4 2016
——————-

Kisah penyelia ni, memang menakutkan. Dengar dari senior-senior aje, Dr tu ok, Dr ni tak ok. Macam biasa, saya bukan nak percaya, selagi tak merasai. Haaa.. tepuk!!! Memang kena kat batang hidung sendiri. Sepatutnya, saya boleh masuk Seminar 1 (defend proposal Bab 1 -Bab 3) sem ni. Kali ini pulak, dugaan dengan penyelia. Sebenarnya, bukan senang nak tukar penyelia. Kena beri alasan yang munasabah.

Kenapa nak tukar penyelia? Bila ko jumpa tanda-tanda ni, ko memang kena mula pertimbangkan.
1. Penyelia ko tak balas mesej ko dalam masa sebulan, meskipun sekadar nak tanya, boleh tak nak jumpa hari ni.
2. Ko jumpa penyelia ko, tapi ko hanya jumpa dalam masa 3 saat aje.

Dua benda ni aje jadi. Saya terus buat keputusan nak tukar penyelia. Dan kena ingat, bila tukar penyelia ni, ko akan glamer lah.

Bila orang-orang kata perlu jumpa Dekan, saya memang nekad aje. Saya dulik apa. Tapi, Ketua Jabatan minta jumpa dia dulu. Masa tu Dr Zaharah Hussin lagi. Dr Zaharah memang pujuk saya, bertahan dengan penyelia yang ada. Beri masa. Tapi saya memang degil. No, saya tak nak tunggu. Lepas bincang itu ini, saya decide nak ambil Dr Zuraidah untuk jadi penyelia saya. Nasib tak menyebelahi, penyelia lama tak izinkan. Aduih, macam-macam hal. Sudahnya, memang berjodoh juga dengan Dr Zaharah Hussin.

Memang dari Sem 1 saya berangan nak jadi anak buah Dr Zaharah. Allah SWT temukan jodoh saya lepas setahun. Kena ingat, penyelia ni, penyelia yang akan guide kita untuk siapkan disertasi kita dari mula sampai akhir. Itu masa depan kita. Kita perlu buat pilihan untuk masa depan kita.

Satu benda saya belajar, ilmu tu mesti datang dari guru. Betul, kalau korang belajar, pastu korang ada rasa macam hilang punca, blank tiba-tiba, putus asa dan rasa nak berhenti, cepat-cepatlah cari penyelia. Berkata jujurlah pada mereka dan minta tunjuk ajar, nescaya mereka akan tolong. Jangan ego dengan penyelia kita, mereka sumber keberkatan kita.





SEMESTER 5 DAN SEMESTER 6 2017
—————————————————
.
.
.
Bulan Januari, saya masih lagi tercari-cari apa yang saya nak kaji. Bila dah blank, saya terus terang aje dengan Dr Zaharah. Saya masih ingat lagi, Dr Zaharah ajak jumpa di cafe sebelah library Fakulti Pendidikan. Jumpa dalam 30 minit aje, tapi pengisian penuh dengan ilmu. Serius, terus nampak macam ada cahaya terang dalam kepala otak saya masa tu. Paling best Dr Zaharah target, bulan 5 dah boleh defend untuk Seminar 1. Tahun ini saya dah masuk sesi pagi. Ofkos, lepas sekolah hari Jumaat, terus hala ke UM. Betul, berkat doa guru ni, saya selesai defend bulan 5.

Paling best, saya ada kawan yang sama-sama punya semangat yang sama, Suhaidah. Kami sama-sama berlumba nak selesai cepat. Selesai Bab 4 dan Bab 5 ni, dua kali hantar full bab untuk disemak. Dr Zaharah setuju untuk saya masuk Seminar 2 ( defend bab 4 dan bab 5). Satu pesan Dr Zaharah, buat betul2, faham isi kajian, jawab dengan yakin dan jangan melawan reader. 

Dr Zaharah ada bersama semasa sesi pembentangan. Rasa selamat sangat walaupun Dr Zaharah hanya duduk senyum tengok saya. Bila reader kata, saya lulus seminar 2, saya rasa macam nak lompat. Lompat setinggi-tingginya. Saya terus peluk Dr Zaharah. Tinggal nak masuk meeting board of examination, saya sempat hantar 5 salinan. Walaupun tinggal hari terakhir. Saya masih ingat, En Asri tunggu kat kaunter tunggu final draft saya. Fuuuhhhh!!!! .


Bila Dr Zaharah beritahu, disertasi lulus dengan minor corrections, hati saya sudah berbunga-bunga. Tarikh akhir untuk hantar hard cover di fakulti untuk konvokesyen pada 7 September 2018. Perlu selesai awal. Malas memang ada. Sebab ni sifat manusia. Kena kuat semangat lah. Tinggal sikit sahaja lagi. 

Sepanjang waktu saya belajar, orang yang paling sabar dengan perangai saya ialah suami saya @mkanwar21 Dia pernah tengok saya tak tidor malam, menangis jam 2 3 4 pagi, balik lambat sebab bertapa kat library, berkurung dalam bilik, stress dengan penulisan sendiri, belum cerita lagi kerja sekolah yang melambak, duit tak ada untuk buat kajian lapangan, nak kena belajar buat analisis , upah proof read dan sebagainya. Abe memang tabah dan sabar. Ada hati lagi tu nak suruh saya sambung lagi belajar. 🤣 Matilanak !!! .

Dr Zaharah pernah sebut pada saya, nilai belajar ni, bukan pada sijil yang kita dapat, bukan pada hari konvokesyen kita gembira, itu semua nilai tambah untuk meraikan kejayaan. Kejayaan sebenar ialah pada pengalaman-pengalaman yang kita dapat sepanjang kita belajar. .Sangat besar nilainya dan tidak terkira. Bila saya #throwback balik apa yang terjadi, semua perkara ada penyelesaiannya. Kita kena cepat dan usahakan sampai berjaya. 


Dr Mohsein pernah sebut pada saya, kita tak nilai seseorang pada cepat atau lambat dia sambung belajar, atau cepat lambat dia habiskan belajar, tapi kita nilai pada rajin seseorang. Kalau ustazah rajin, percayalah... yang lambat akan lebih cepat dari yang cepat. 


Jadi, kepada yang sedang sambung atau berfikir-fikir nak sambung belajar, buatlah yang terbaik. Pandai atau tidak pandai seseorang itu bukan ukuran. RAJIN. Itu keyword yang paling utama. Yang sambung belajar sambil bekerja, ingatlah bahawa kita pernah mengambil masa orang lain untuk cover kerja kita. Sekali pun kita tak hargai duit yang kita keluarkan, hargai masa orang lain yang pernah kita gunakan. 





7.03.2018

KBAT Buddies



KBAT Buddies - adalah aktiviti yang dijalankan dengan kumpulan dengan kawan-kawan. Ahli kumpulan terdiri dariapda 3 atau 4 orang. Kadang-kadang mereka nak duduk dengan geng-geng mereka juga, boleh. Tapi, kena kawal juga. Bimbang aktiviti tak berjalan, penuh ketawa dan berborak aje. 

1. Beri arahan kepada murid terlebih dahulu. Maklumkan kepda mereka, apa matlamat yang kita nak capai diakhir aktiviti yang dijalankan. Ulang arahan sebanyak dua kali dengan jelas. Matlamat aktiviti KBAT Buddies ini adalah untuk mendapatkan satu jawapan lengkap soalan berbentuk KBAT dengan menepati rubrik penskoran yang betul. Tak mengapa, kalau kita kena ulang sikit tentang rubrik tu. Lagi banyak ulang, lagi bagus. 


2. Bahan soalan yang saya gunakan ialah Modul Gemilang Negeri Selangor. Semua murid mempunyai akses modul tersebut. Pastikan semua murid mempunyai buku rujukan buku teks atau buku latihan sendiri agar boleh membantu mereka mendapatkan jawapan. 




3. Beri masa kepada murid dalam 20 minit untuk mereka menjawab soalan dalam kumpulan. Guru perlu mendapatkan respond dari setiap kumpulan memastikan mereka memahami kehendak soalan. Jangan biarkan mereka faham sendiri. Kita perlu bertindak sebagai pembimbing. Pastikan mereka berbincang. Pastikan perbincangan mereka itu menepati matlamat dalam aktiviti yang kita laksanakan. Jika murid tanya, jawablah. Jangan cakap, eh, awak fikirlah dengan kawan-kawan tu. Haish, bantu murid, bukan seksa murid.







4. Galakkan kumpulan yang sudah selesai untuk dapat membuat semakan dengan guru. Lebih baik panggil semua ahli kumpulan untuk mendengar ulasan guru.

5. Selesai mendapat jawapan yang betul, minta semua ahli kumpulan menyalin jawapan yang telah dibetulkan ke dalam buku masing-masing. Pastikan semua ahli mendapat jawapan yang betul supaya boleh dibuat ulangkaji. Ambil peluang masa ini untuk beri lagi nasihat kepada anak-anak kita. Mereka akan dengar, walauapun kekadang tu tak berapa sangat masuk dalam otak deme. Tapi, kita cuba lah ye.



Setiap kali selesai aktiviti, ambil masa 5 minit untuk buat penutup. Beritahu kepada murid rasional aktiviti berkumpulan. mengapa semua perlu ambil bahagian dan bertanggungjawab. Jangan lupa selitkan puji-pujian kepada anak-anak murid kita yang menjalankan aktiviti dengan jayanya tadi.

Selamat mencuba.

4.19.2018

Big Book




Masuk bulan 4 dah sekolah tahun ni, saya rancang dengan anak-anak untuk meminta mereka membuat Big Book. Selalu kita panggil folio kan, saya tukar sikit lah namanya. Nampak ada kelainan di situ. Bagi merancakkan lagi keseronokan aktiviti ini, saya minta murid buat secara berpasangan. Lebih seronok, lebih banyak idea. 


Penyediaan Big Book boleh dibuat luar dari waktu persekolahan namun begitu terdapat 2 hari , bersamaan dengan 4 waktu, perlu dibuat di dalam kelas. Mengapa perlu buat dalam kelas? Supaya guru boleh memantau dan melihat proses kerja murid. Sememangnya, murid lebih suka berahsia dengan hasil kerja yang akan dihasilkan. Lebih gemar elemen suprise. Tapi, kalau guru tak tengok, kita pulak yang suprise. 


Bagi memastikan, murid membawa bahan-bahan penyediaan Big Book, guru perlu berbincang tentag tarikh terlebih dahulu supaya murid lebih bersedia. Penyediaan Big Book tidak boleh mengambil masa yang terlalu lama, memadai hanya 2 minggu sahaja dan diakhiri dengan kuiz yang disediakan reward untuk murid-murid. Guru perlu menyatakan tarikh kuiz yang akan diadakan supaya murid lebih bersedia menepati prinsip pentaksiran iaitu akur peluang. 



Kuiz yang diadakan pula perlulah berulang kali, mencakupi semua isi dalam tajuk yang terkandung dalam sukatan. Mengapa? Murid telah melaksanakan dengan bersungguh-sungguh, maka sekarang adalah peranan kita menghargai apa yang telah murid laksanakan. Lagi pula, mereka membaca semua isi dalam tajuk, berulang-ulang kali, sehinggalah Big Book yang diminta dapat dihasilkan dengan lengkap. 








Murid-murid lelaki yang lebih bersemangat. 


Lagi seronok, saya sediakan satu borang penilaian khas, saya bawak Big Book yang telah dihasilkan dan minta rakan-rakan guru lain membuat penilaian. Sungguh seronok. Murid suka dinilai. Penilaian yang kita beri sebenarnya adalah usaha kita menaikkan lagi semangat mereka, menunjukkan keprihatinan kita terhadap apa sahaja usaha yang anak-anak didik kita lakukan.


Seronokkan? 

4.12.2018

Dam Gergasi



Akhirnya, siap jugak Dam Gergasi 2 Abu Bakar. Saya memang suka betul semangat anak-anak hebat ini. Setiap aktiviti yang kami rancang bersama, kami akan laksanakan bersama-sama. Walaupun nampak macam tak boleh buat, saya yakinkan diri sendiri dengan meletakkan kepercayaan ke atas anak-anak hebat saya. Alhamdulillah, berjalan dengan lancar.

1. Mula-mula sekali, saya bahagikan anak-anak saya kepada 6 kumpulan. Setiap kumpulan diberikan 6 petak nombor sahaja bermula dengan nombor 1. Dalam 6 petak nombor, mestilah mempunyai 1 petak reward, 1 petak denda dan 4 petak soalan. Setiap petak berukuran 1 kertas A4. Dalam setiap petak soalan, mesti disediakan solan beserta jawapan di kertas berasingan supaya mudah untuk disemak.




2. Penghasilan petak dam perlulah dilakukan secara berterusan di dalam kelas. Dengan cara ini, guru dapat memantau hasil murid. Dalam masa yang sama, guru boleh melihat bagaimana murid menghasilkan soalan dan jawapan. Penglibatan guru bersama murid perlulah maksimum. Tunjukkan kita bersama-sama murid mengharapkan hasil aktiviti menyeronokkan.













3. Apabila semua sudah selesai, maka kira sambungkan petak-petak nombor sehingga menjadi Dam Gergasi. Dengan menggunakan dadu gergasi, maka permainan dimulakan. 






Melihat wajah-wajah anak-anak murid yang gembira membuatkan saya sungguh puas. Anak-anak hebat ini berjaya merealisasikan perkara yang tak pernah saya laksanakan sebelum ini. Mereka menjadikan Dam Gergasi satu kenyataan. Tahniah anak-anak ku hebat!. 

2.27.2018

Nota Pop Up

Pop Up ialah suatu bahan yang membentuk suatu struktur tiga dimensi apabila halaman dibuka. Pop Up banyak diaplikasikan dalam buku kanak-kanak agar ia lebih kelihatan menarik. Dan menggunakan bahan seperti kertas, gam dan gunting sahaja.

Maka, timbullah idea pada saya untuk murid menghasilkan Nota Pop Up dalam buku. Saya memang suka murid menghasilkan nota yang basednya dalam buku tulis sendiri. Mudah diakses dan jika disemak semula amatlah menarik.

Sebelum mula, saya mengajar murid-murid asas membuat Pop Up terlebih dahulu. Saya menunjukkan kaedah yang paling simple. Rupanya, anak-anak ini sudah terdedah dengan Pop Up sejak sekolah rendah. Jadi, tugas saya menjadi lebih mudah.

Tajuk apa ye? Erm... Apa kata tajuk solat berjemaah dengan nota Pop Up. Wow, hasil yang anak-anak murid saya hasilkan amat bagus. Ada hasil yang buat saya saya teruja. Sungguh, anak-anak ini kreatif.










Banyak lagi hasil nota Pop Up yang dibuat oleh anak-anak murid saya. Tetapi, untuk entry ini, saya pilih hasil solat berjemaah. Sungguh saya sangat berpuas hati dengan hasil yang diberikan oleh anak-anak murid saya. Saya sendiri tidak terfikir macam ni hasil yang akan saya dapat. Sesungguhnya, mereka sangat komited. Jom cuba dan cabar kreativiti anak-anak murid anda.