10.21.2018

Cikgu Sambung Master






Semester 1 2015
-------------------

Lepas daftar subjek, baru tahu kelas hari Jumaat petang. Maka, bermula edisi usaha untuk setelkan masalah ni. Aku jumpa rakan-rakan panitia dan minta tolong, kalau2 ada yang nak switch sesi pagi ke petang dan aku ke sesi pagi untuk hari Jumaat sahaja. Malangnya, masa tu memang tak ada yang boleh bantu. Ni idea pentadbir suruh aku buat macam ni, ini dikira budi bicara pentadbir lah ni kan. Serabut kepala fikir, sampai ada rasa nak berhenti dah. Aku call Dr Zaharah, masa ni beliau KJ. Pesan Dr Zaharah, jangan berhenti. Kelas tak perlu datang, datang untuk presentation dan exam aje. Sebenarnya tak boleh macam tu. Tapi atas budi bicara KJ, semuanya dipermudahkan. Lega sangat tak tahu nak kata.  Alhamdulillah, survive untuk semester pertama ni dengan selamat. 





Sem 2 2015
—————

Masa ni, apply biasiswa MyBrain15 untuk kakitangan kerajaan yang buat part time master. Kak Waheedah Tang, beri saya tumpang scanner kat rumah dia dan hantar permohonan on-line. Atiqah Hani, teman pergi UM buat pengesahan sampai kereta rosak kat parking sebelah Pejabat Bendahari. Berkat doa-doa orang yang baik disekeliling saya, saya dapat biasiswa ni. Nak mula semester, sekali lagi mengadap pentadbir, memohon budi bicara. Sebab saya mengajar petang masa ni, guru Pendidikan Islam memang ada dua orang sahaja. Kalau saya tak ada, kak Kiah lah yang kena cover. Murid ramai pulak tu. 

Mohon juga supaya jadual ejas sikit supaya saya boleh pergi kelas kul 3 petang. Masa ni pun, nasib saya tak berapa baik. Saya masih ingat, salah seorang pentadbir cakap dengan saya, pergi pindah sekolah lain. Sekolah boleh cari ganti cikgu lain. Sampai sekarang saya tak kan lupa. Sebelum tumpah air mata, saya sempat mesej Pengetua dan Ketua Panitia satu sekolah di PJ. Saya ceritakan masalah saya, dan pengetua tu kata, awak boleh pindah sekolah saya kalau setakat itu aje masalahnya. Masa itu happy sangat dah, sebab ada juga orang nak bantu. Bila Pengetua sekolah saya dapat tahu, dia tawarkan saya untuk ambil CRK pada hari-hari saya patut pergi kelas. Sebab masa tu surat kelulusan belajar dari jabatan belum sampai. Sungguh, habis CRK saya 7 hari saya pakai, berturut-turut. Dan inilah budi bicara En Abd Ghaffar beri kepada saya. 

Saya bersyukur sangat-sangat. Masa yang diberi saya pakai betul-betul. Dan Kak Kiah adalah orang yang paling berjasa sangat dengan saya. Kak Kiah paham sangat keadaan saya. Walaupun pada masa yang sama ada yang kecam dan membawang pasal saya kat belakang saya, saya pedulik hapa. Sebab diorang tetap kat belakang saya. 






Semester 3 2016
——————

Tahun baru, semangat baru. Perkara yang saya perjuangkan akhirnya dipermudahkan. Semester 3 saya hanya ambil 1 subjek. Kelas jam 6 petang. Atas budi bicara pentadbir, jadual saya dapat ejas berakhir jam 5.30 petang. Memang sempat saya drive ke UM tiap-tiap petang Jumaat. Alhamdulillah, lega yang teramat sangat. Allah SWT mudahkan segala urusan. Bila jadual saya berakhir jam 5.30 petang, bermakna jadual kak Kiah pun sama. Jadi, Kak Kiah tak perlu nak ambil kelas saya untuk cover. 




Semester 4 2016
——————-

Kisah penyelia ni, memang menakutkan. Dengar dari senior-senior aje, Dr tu ok, Dr ni tak ok. Macam biasa, saya bukan nak percaya, selagi tak merasai. Haaa.. tepuk!!! Memang kena kat batang hidung sendiri. Sepatutnya, saya boleh masuk Seminar 1 (defend proposal Bab 1 -Bab 3) sem ni. Kali ini pulak, dugaan dengan penyelia. Sebenarnya, bukan senang nak tukar penyelia. Kena beri alasan yang munasabah.

Kenapa nak tukar penyelia? Bila ko jumpa tanda-tanda ni, ko memang kena mula pertimbangkan.
1. Penyelia ko tak balas mesej ko dalam masa sebulan, meskipun sekadar nak tanya, boleh tak nak jumpa hari ni.
2. Ko jumpa penyelia ko, tapi ko hanya jumpa dalam masa 3 saat aje.

Dua benda ni aje jadi. Saya terus buat keputusan nak tukar penyelia. Dan kena ingat, bila tukar penyelia ni, ko akan glamer lah.

Bila orang-orang kata perlu jumpa Dekan, saya memang nekad aje. Saya dulik apa. Tapi, Ketua Jabatan minta jumpa dia dulu. Masa tu Dr Zaharah Hussin lagi. Dr Zaharah memang pujuk saya, bertahan dengan penyelia yang ada. Beri masa. Tapi saya memang degil. No, saya tak nak tunggu. Lepas bincang itu ini, saya decide nak ambil Dr Zuraidah untuk jadi penyelia saya. Nasib tak menyebelahi, penyelia lama tak izinkan. Aduih, macam-macam hal. Sudahnya, memang berjodoh juga dengan Dr Zaharah Hussin.

Memang dari Sem 1 saya berangan nak jadi anak buah Dr Zaharah. Allah SWT temukan jodoh saya lepas setahun. Kena ingat, penyelia ni, penyelia yang akan guide kita untuk siapkan disertasi kita dari mula sampai akhir. Itu masa depan kita. Kita perlu buat pilihan untuk masa depan kita.

Satu benda saya belajar, ilmu tu mesti datang dari guru. Betul, kalau korang belajar, pastu korang ada rasa macam hilang punca, blank tiba-tiba, putus asa dan rasa nak berhenti, cepat-cepatlah cari penyelia. Berkata jujurlah pada mereka dan minta tunjuk ajar, nescaya mereka akan tolong. Jangan ego dengan penyelia kita, mereka sumber keberkatan kita.





SEMESTER 5 DAN SEMESTER 6 2017
—————————————————
.
.
.
Bulan Januari, saya masih lagi tercari-cari apa yang saya nak kaji. Bila dah blank, saya terus terang aje dengan Dr Zaharah. Saya masih ingat lagi, Dr Zaharah ajak jumpa di cafe sebelah library Fakulti Pendidikan. Jumpa dalam 30 minit aje, tapi pengisian penuh dengan ilmu. Serius, terus nampak macam ada cahaya terang dalam kepala otak saya masa tu. Paling best Dr Zaharah target, bulan 5 dah boleh defend untuk Seminar 1. Tahun ini saya dah masuk sesi pagi. Ofkos, lepas sekolah hari Jumaat, terus hala ke UM. Betul, berkat doa guru ni, saya selesai defend bulan 5.

Paling best, saya ada kawan yang sama-sama punya semangat yang sama, Suhaidah. Kami sama-sama berlumba nak selesai cepat. Selesai Bab 4 dan Bab 5 ni, dua kali hantar full bab untuk disemak. Dr Zaharah setuju untuk saya masuk Seminar 2 ( defend bab 4 dan bab 5). Satu pesan Dr Zaharah, buat betul2, faham isi kajian, jawab dengan yakin dan jangan melawan reader. 

Dr Zaharah ada bersama semasa sesi pembentangan. Rasa selamat sangat walaupun Dr Zaharah hanya duduk senyum tengok saya. Bila reader kata, saya lulus seminar 2, saya rasa macam nak lompat. Lompat setinggi-tingginya. Saya terus peluk Dr Zaharah. Tinggal nak masuk meeting board of examination, saya sempat hantar 5 salinan. Walaupun tinggal hari terakhir. Saya masih ingat, En Asri tunggu kat kaunter tunggu final draft saya. Fuuuhhhh!!!! .


Bila Dr Zaharah beritahu, disertasi lulus dengan minor corrections, hati saya sudah berbunga-bunga. Tarikh akhir untuk hantar hard cover di fakulti untuk konvokesyen pada 7 September 2018. Perlu selesai awal. Malas memang ada. Sebab ni sifat manusia. Kena kuat semangat lah. Tinggal sikit sahaja lagi. 

Sepanjang waktu saya belajar, orang yang paling sabar dengan perangai saya ialah suami saya @mkanwar21 Dia pernah tengok saya tak tidor malam, menangis jam 2 3 4 pagi, balik lambat sebab bertapa kat library, berkurung dalam bilik, stress dengan penulisan sendiri, belum cerita lagi kerja sekolah yang melambak, duit tak ada untuk buat kajian lapangan, nak kena belajar buat analisis , upah proof read dan sebagainya. Abe memang tabah dan sabar. Ada hati lagi tu nak suruh saya sambung lagi belajar. 🤣 Matilanak !!! .

Dr Zaharah pernah sebut pada saya, nilai belajar ni, bukan pada sijil yang kita dapat, bukan pada hari konvokesyen kita gembira, itu semua nilai tambah untuk meraikan kejayaan. Kejayaan sebenar ialah pada pengalaman-pengalaman yang kita dapat sepanjang kita belajar. .Sangat besar nilainya dan tidak terkira. Bila saya #throwback balik apa yang terjadi, semua perkara ada penyelesaiannya. Kita kena cepat dan usahakan sampai berjaya. 


Dr Mohsein pernah sebut pada saya, kita tak nilai seseorang pada cepat atau lambat dia sambung belajar, atau cepat lambat dia habiskan belajar, tapi kita nilai pada rajin seseorang. Kalau ustazah rajin, percayalah... yang lambat akan lebih cepat dari yang cepat. 


Jadi, kepada yang sedang sambung atau berfikir-fikir nak sambung belajar, buatlah yang terbaik. Pandai atau tidak pandai seseorang itu bukan ukuran. RAJIN. Itu keyword yang paling utama. Yang sambung belajar sambil bekerja, ingatlah bahawa kita pernah mengambil masa orang lain untuk cover kerja kita. Sekali pun kita tak hargai duit yang kita keluarkan, hargai masa orang lain yang pernah kita gunakan. 





4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. bestnya cerita cikgu sambung belajar.. sangat termotivasi kebetulan saya juga sambung belajar untuk master.. cikgu ada media sosial untuk tahu perkembangan semasa.. disamping nak timba pengalaman daripada cikgu..

    ReplyDelete
  3. Saya nak master.tapi selagi gomen ni tak hargai duit kita yang dihabiskan buat master.saya takkan.kalau naik satu tangga gaji pun dah cukup kan

    ReplyDelete