3.05.2020

GPS Terbaik Pendidikan Islam




Senyuman tanda Tazah gembira. 

Anak-anak murid ku sayang,
Demi Allah,

Telah ku halalkan segala makan minummu,
Telah ku ampunkan dan maafkan segala tutur kasarmu,
Telah ku hilangkan rasa singgungku terhadapmu,
Telah ku padamkan rasa marahku padamu,
Telah ku redha segala ilmuku terhadapmu,
Pergilah kau berjuang... dengan segala ilmu yang telah dipelajari.

Doaku,
Kau tenanglah dalam menjawab soalan peperiksaan,
Kau dikurniakan ilham ketika menjawab,
Kau tidak gusar mencari jawapan,
Kau yakin dengan segala jawapan,
Kau diberikan kekuatan dan ketenangan,
Maka,
Ya Allah,
Kau bantulah anak-anak didikku ini
Kerana mereka telah memberika usaha yang terbaik,
Maka kau balaslah dengan segala kebaikan.
Amin Ya Rabbal Alamin


Doa ini kutitipkan buat anak-anak muridku pada hari peperiksaan kertas Pendidikan Islam SPM 2019. Pada ketika ini, telah ku reda anak-anak muridku untuk berjuang. Hari ini, keputusan SPM diumumkan. Entah mengapa, debar rasa di dada terlalu kencang. Hanya lalu untuk minum sahaja, makan jauh sekali. Sekejap bangun, sekejap duduk. 

Kenapa aku sungguh berdebar? Tahun lepas menyaksikan aku mengajar satu waktu bergabung 3 kelas, 70 orang murid. 70 puluh. Sebab, kami kekurangan guru. Ini adalah ujian paling hebat yang aku tempuh sepanjang menjadi guru. nasib 70 orang murid berada di atas bahu ku seorang. Belum tambah lagi, satu lagi kelas 5 Adil. Dalam 70 orang ini, terlalu banyak perangai yang tidak terdaya untuk ku tuliskan. 

Aku masih ingat, aku berebut-rebut kelas dengan cikgu-cikgu subjek lain. Memang giat berebut. Malah, pernah bergaduh. Gaduh-gaduh manja. Aku memang sangat takut. Aku tahu, aku bukan berjuang sendirian, aku ada kawan-kawan menemani, tapi perasaan tu aku sorang aje tau. 

Hari ini, bila diumumkan, GPS Pendidikan Islam ialah 3.74 melebihi sasaran yang aku sendiri takut nak sasarkan. Hari ini menyaksikan, Allah SWT memberi anugerah kepada anak-anak muridku yang berusaha. Allahu Akbar!!!! AllahuAkbar!!!! Aku tahu, anak-anak murid aku akan sibuk meraikan kejayaan mereka. Sangat-sangat. Aku tidak perlu rasa kecil hati, mereka ingin meraikan. Cukuplah sekadar aku hanya melihat keputusan dari salinan slip yang ada di sekolah. Itu sudah memadai. 

Sebenarnya, jauh di sudut hati, aku sangat takut dengan keputusan. Al-maklumlah, tahun pertama menyandang jawatan sebagai Ketua Panitia. Alhamdulillah... syukur kepada Allah SWT. Terima kasih anak-anak muridku kerana membuat yang terbaik untuk Tazah. Terima kasih banyak-banyak. 


0 comments:

Post a Comment