4.13.2020

Pameran Inovasi PI Fun And Learning

Assalamualaikum dan salam kejayaan, 

Ini cerita anak-anak hebat saya. Cerita mereka bersama saya. Cerita kami pada 12 Mac 2020.

Alhamdulillah, segala debaran selama 2 hari ini, akhirnya berakhir dengan jayanya. Saya sungguh bersyukur kepada Allah SWT. Ini adalah tahun kedua saya mengadakan pemeran inovasi untuk murid tingkatan 3, kelas yang saya ajar.

Pada mulanya, saya sendiri tidak yakin dengan rancangan saya sendiri. Oleh kerana kami kekurangan guru, 3 kelas terpaksa digabungkan di bawah penyeliaan saya. Kelas kami selalu bertukar tempat, kadang-kadang di bilik utiliti dan di bilik Sumaiyah. Ikut kekosongan. Saya kongsikan sedikit perancangan awal sehingga pameran ini berjaya.

Bulan Januari, Minggu 1- Saya nyatakan harapan saya kepada anak-anak murid saya. Saya mahukan mereka membuat yang terbaik untuk diri mereka dan memberi yang terbaik dari diri mereka. Saya kongsikan gambar-gambar dan video pameran inovasi tahun lepas dengan mereka. Sungguh, mereka langsung tidak teruja. Tetapi, saya tetap membahagikan mereka kepada 12 kumpulan. Saya gabungkan mereka tanpa mengikut kelas asal. MasyaAllah, jangan ditanya, mereka memang tidak suka. Saya hanya pejam mata, pekakkan telinga. Saya minta nama kumpulan, ketua kumpulan dan senarai ahli kumpulan.

Bulan Januari, Minggu 2 - Saya ambil masa dalam kelas dan minta mereka berkumpul mengikut kumpulan. Sekali lagi, saya terangkan apa yang saya ingin mereka hasilkan. Mereka perlu cipta satu permainan untuk satu tajuk yang akan saya berikan mengikut kumpulan. Permainan ini mestilah relevan, praktikal dan sesuai untuk dilaksanakan dalam pembelajaran. Saya minta mereka beri satu nama dan cara permainan peringkat awal. Pun, masih ada kumpulan yang tidak dapat memberikan cadangan permainan mereka.

Bulan Februari - Setiap kali waktu belajar, saya akan bertanya perkembangan aktiviti kumpulan. Masa ni, macam-macam aduan yang saya terima. Kawan-kawan tidak beri sokongan, kawan hantar mesej, malas, tak nak berkumpul. Saya tahan dari nak marah. Saya tahu, ada sebilangannya menganggap projek ini susah, ada yang tidak terjangkau dek pemikiran, tetapi.. saya faham. Ini bukan benda senang. Saya kuatkan semangat, memberi kata-kata peransang, memujuk. Berjumpa dengan setiap kumpulan, bertanya. Memberi penerangan.

Bulan Mac,  Minggu Pertama - Semua murid sibuk dengan aktiviti sukan. Hati saya sudah tidak tentu arah. Saya sangat takut. Bila tanya murid perkembanga, jawapannya... Itu tak siap, ini tak ada, kawan tak cukup bila berkumpul. Arghhh, rasa macam nak batalkan pun ada, tapi dah sekerat jalan. Aje giler...

10 Mac 2020 - Saya minta semua murid membawa bahan projek mereka ke sekolah untuk touch-up sesi akhir. Saya minta mereka duduk dalam kumpulan. Dari 12 kumpulan, 8 daripadanya saya sudah nampak hasil projek mereka. Namun begitu, masih ada yang belum ada lagi bahan projek. Tidaaaaak!!!!! Ada yang baru nak reka. Ada yang tak tahu apa-apa.

11 Mac 2020 - Sepatutnya, saya ada kelas akhir dengan anak-anak hebat saya. Kelas akhir sebelum pameran dimulakan. Malangnya, anak-anak ini terlibat dengan taklimat mata pelajaran Sains dan hanya tinggal 10 orang murid sahaja di dalam surau. Paling sedih, saya tidak dapat melihat, bahan pameran. Sungguh, saya amat kecewa. Saya tidak tahu kenapa saya kecewa. Sungguh, saya masih menyimpan hasrat, pameran kami berjaya.

12 Mac 2020 - Hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. Sesungguhnya, Allah SWT sangat menyayangi anak-anak hebat saya. Hari ini, anak-anak ini menunjukkan komitmen yang terbaik dari mereka. Sungguh, kehebatan mereka memang tidak saya duga. Setelah berjurai air mata, bebelan, marah , rajuk dan segalanya, mereka berjaya buktikan yang mereka boleh.

Pameran kami berjaya. Kami berjaya membuktikan bahawa kami, anak-anak hebat saya boleh melakukan yang terbaik, memberikan yang terbaik. Percayalah, jika kita menyuntik semangat inovasi ke dalam jiwa anak-anak didik kita, mereka akan laksanakan sebaik mungkin. Dan kita, mesti ada di samping mereka.

Sungguh banyak komen dan puji-pujian yang saya terima bagi pihak anak-anak hebat daripada tetamu yang hadir. Kami jemput guru-guru luar dan anak-anak murid luar menghadiri pameran ini. Dengan harapan, anak-anak murid saya akan belajar membina keyakinan diri. Meskipun, pameran kami bukanlah pameran peringkat tinggi,  peringkat sekolah semata-mata, namun saya percaya, bermula sekecil ini mampu membuka peluang yang lebih besar.

Percaya itu.


Hati-hati abang akak



Mengukuhkan bahan binaan





Antara tetamu yang hadir


Kata-kata semangat sebelum pameran













Ucapan penutup dari penyelaras




2 comments:

  1. As a wise man said: The great student comes from the great teacher! Keep up the good work Tazah Lea.. You really inspired me a lot.. Nice blog..

    ReplyDelete