Ucapan Majlis Perpisahan


Hari ini merupakan hari terakhir bertugas secara rasmi di sekolah ini. Selepas surat rasmi cuti belajar dah keluar, saya dah mula kemas-kemas meja, buang-buang sampah, bakar apa yang patut dan selesaikan sikit-sikit kerja yang masih tertunggak. 

Serius, seminggu akhir ni memang mencabar. Tetapi saya memang simpan dalam hati perasaan sedih dalam diri. Sekali pandang macam kental kan, sebenarnya saya ni berhati tisu. Saya ambil kesempatan pagi akhir dengan berjumpa seberapa ramai rakan-rakan sesi pagi yang boleh. Baru nak cakap, air mata pun berjurai. Eh, mestilah sedih dan beremosi. Sekolah ini, penuh dengan kenangan. 

Saya coretkan penghargaan saya pada sebuah ucapan yang padat dan ringkas. 

" Rakan-rakan sekalian, 

Sepanjang 7 tahun saya di sini, terlalu banyak kenagan yang tercipta, suka, duka, gembira, gelak dan ketawa. Terima kasih banyak-banyak... bak seluas bumi yang terbentang, Terima kasih banyak-banyak bak seluas langit yang menjulang, Terima kasih banyak-banyak sedalam laut yang membiru, dan terima kasih banyak-banyak umpuma tebaran bintang di langit. terima kasih menjadikan saya sebagai salah seorang sahabat anda. 

Saya sedar, saya adalah seorang sahabat yang bermulut laser, jujur, pembaris besi, pelik, tetapi maafkanlah segala kesalahan saya, bahasa badan dan tutur kata saya. Tidak sedikitpun yang tertinggal di hati saya, melainkan kasih sayang yang tiada tandingannya. 

Selepas ini, saya pasti merindukan, pekik hingar bingar di bilik guru, tragedi beg hitam di tangga kita, sos cili, gula kopi di kotak recycle, penjual losyen yang gigih meniaga, rebutan nasi lemak sambal petai kak Maini, cerita kurus diet yang tidak berkesudahan, dan gaduh manja semasa hari sukan. 

Teruslah menjadi sahabat saya, walau dimana kita berada. Selepas ini, cerita kita sudah berbeza, tetapi ketahuilah kita mempunyai impian dan cita-cita yang sama. 

Saya doakan rakan-rakan terus mencipta kegemilangan di masa-masa akan datang. Rakan-rakan ku sayang, anda adalah rakan sejati, rakan hakiki.. InsyaAllah, anda semua akan ke syurga Ilahi. "

Percayalah, saya menahan sebak ketika membaca ucapan sendiri yang saya patri. Nak memandang rakan-rakan pun tak mampu, kerana panadngan saya berbalam-balam. Penuh dan berkaca air mata memenuhi kornea. Sungguh, saya sayang pada kalian semua. 

Anak-anak, telah ku tinggalkan kamu semua dalam tangan yang akan menjaga kamu lebih dari dirinya sendiri. tetaplah, kau menuntut ilmu dan menghormati guru kamu, kerana kurniaan ilham Allah melaluinya. 

No comments:

Post a Comment