12.09.2020

Kisah PhD : Dua Pengalaman Buat Pelajar PhD Jadi Kental

Masuk minggu 9 untuk semester 1 sesi 2020/2021.
Sekejap sahaja rasanya. Semua pelajar PhD diwajidkan untuk menduduki kelas metodologi kajian sekurang-kurangnya 3 kredit sebagai syarat graduasi. Saya memilih kelas metodologi kualitatif di bawah penyeliaan Professor Rohaida. Kelas yang cool dan chill. Sikap saya yang banyak tanya tidak kira betul salah terserlah sekali.  Saya yakin semasa belajar ini, memang itu yang kita akan jumpa. 

Tetapi, saya masih ada masalah. Masalahnya, saya tidak mendapat "jiwa" daripada artikel yang dibaca. Bukannya saya tidak faham tajuk atau kandungan artikel itu. Ini adalah masalah besar. Selepas membuat sedikit carian, ada beberapa tips yang saya jumpa. Contohnya, cuba berhubung dengan pakar yang sering menceritakan tentang proses belajar dalam peringkat PhD. 

Pengalaman 1. 
Saya hubungi seorang senior yang baru habis belajar 2 tahun yang dicadangkan oleh senior satu universiti.
Soalan saya tanya satu aje, 

"Apa pendapat puan dengan cadangan topik saya?"

Malangnya, saya pula  ditanya kembali bertubi-tubi seolah-oleh sedang di viva. Mujurlah panggilan telefon aja, tertelan-telan air liur saya di hujung meja.  Terdiam. Memang saya tak mampu untuk menyambung perrtanyaan. Selesai mengucapkan terima kasih, saya terus memadam nombor telefonnya dari senarai kenalan.  

Pengalaman 2. 
Saya menghubungi seorang pensyarah yang agak popular dalam kalangan pelajar yang sambung belajar.  Beliau selalu menceritakan kisah-kisah bantuan yang diberikan kepada pelajar pascasiswazah. Sudah tentu saya juga terpengaruh. Setelah saya menyebut tajuk cadangan kajian kepada beliau, 

"Tajuk kajian kamu langsung tidak menunjukkan tahap kajian PhD"

Zas!
Terkedu. Kemudian, perbualan itu terhenti dalam anggaran 5 hingga ke 8 saat. Saya terdiam. Nak cakap apa lagi. Akhirnya, saya minta diri aje. Cuma, sesuatu yang tidak senang di hati saya ialah pensyarah itu siap up status di FB menceritakan kembali perbualan kami dalam telefon. Memanglah dia tidak menyatakan nama saya tetapi saya tahu status FB itu ditujukan kepada saya. 

Beginilah lumrah orang yang mula belajar, memang masih bodoh dan tidak tahu banyak perkara. Daripada dua pengalaman ini, tidak adil jika saya membuat kesimpulan bahawa tidak ada orang yang ingin membantu kita. Meskipun, hakikatnya saya sendiri merasa kecewa. Saat saya memerlukan bantuan, saya tidak mendapat bantuan seperti mana yang saya harapkan. 

Akan tetapi, saya belajar satu perkara iaitu hati kental. Sekiranya, pada waktu saya bertanya kepada mereka berdua dan mereka terus memberi jawapan, saya tak pasti apa pula berlaku kepada saya. Mungkin, saya akan cepat berpuas hati dengan apa yang saya perolehi. 

Rasa kental ini buat saya lebih kuat untuk memahami topik dan konteks kajian saya. Saya memang perlu banyak membaca kerana ini adalah kajian saya. Hanya saya yang memahami apa yang saya nak kaji. Benar, tidak salah bertanya. Namun, kita perlu berlapang dada jika pertanyaan kita tidak dijawab mengikut kehendak kita kerana pendapat manusia berbeza-beza. 

Ada orang kata, kalau hati tisu, tak yah buat PhD. 
Pada saya, apa salahnya hati tisu?
Apa salahnya hati menangis?
Apa salahnya meraung melalak. 
Beri masa pada hati. 
Luka pasti akan dapat dirawat. 
Lepas tu bangkit.  
Sebab jiwa kita kental. 

Betul tidak?








0 comments:

Post a Comment