12.31.2021
12.07.2021
Terbitnya Artikel Pertama dan Tips Mudah
Masih ingatkah anda dengan luahan perasaan apabila artikel yang saya hantar dikomen oleh editor. Kalau lupa, boleh refresh di sini.
Alhamdulillah, akhirnya terbit juga artikel tersebut secara rasmi. Jika ada yang sudi membaca, boleh klik link ini. Menggigil juga tangan bila membaca notis pemberitahuan editor melalui emel.
Mengapakah saya beria-ia sangat menunggu artikel ini terbit? Benar, penerbitan artikel adalah salah satu daripada syarat untuk pelajar bergraduan. Dalam kes saya, saya perlu terbitkan dua artikel dalam jurnal yang diiktiraf. Bukan sesuka hati. Paling penting, mesti jadi penulis yang pertama.
Perasaan saya ketika ini adalah gembira dan rasa bersyukur. Sekurang-kurangnya, sudah terbit satu. Biasanyakan, begitu. mula satu dulu, lepas tu akan ada dua, tiga dan seterusnya. Bukan apa, bila melihat perkembangan kawan-kawan yang sama pengajian sudah berjaya terbit artikel, buat saya gelisah juga sebenarnya. Ternanti-nanti bila lah pula giliran kita kan? Melihat semula penulisan saya, saya percaya banyak yang perlu saya perbaiki. Ini adalah titik pemula bagi saya untuk terus menulis artikel. Menulis untuk menyebarkan sedikit ilmu berkaitan dengan penyelidikan saya. Kita buat penyelidikan bukan nak ubah dunia tetapi kita nak kongsi sedikit pengetahuan kita agar orang lain juga akan memperolehi manfaat yang sama.
Tips mudah yang saya amalkan sebelum menulis artikel. Ini cara saya.
Pertama, saya cari 10 artikel terkini yang berkaitan dengan tajuk saya. Sebagai contoh, sekarang tahun 2021, maka artikel saya itu mesti dalam tahun 2021 atau 2020.
Kedua, saya cari 3 artikel yang menggunakan metod penyelidikan yang sama. Kenapa? Saya nak pastikan agar gaya penulisan kaedah penyelidikan adalah bertepatan.
Ketiga, guna ayat yang "layman" iaitu ayat yang boleh difahami oleh orang awam. Ini juga antara pesanan pemeriksa artikel saya. Ayat yang mudah dan tidak berbelit-belit.
Keempat, saya cari artikel yang diterbitkan oleh jurnal yang sama untuk melihat gaya penulisan artikel terdahulu yang telah berjaya diterbitkan. Pasti akan ada satu atau dua artikel yang kita boleh jadikan rujukan.
Kelima - hantar dan tunggu balasan daripada editor. Penantian ini satu penyeksaan. Kena sabar banyak. Ada yang mencadangkan, satu artikel hantar ke banyak jurnal. Sekiranya, ada yang berjaya diterbitkan, maka yang lain-lain boleh tarik. Saya pula, suka hantar satu dan tunggu respons. Sama ada diterima beserta pembetulan atau ditolak mentah-mentah. Pengalaman saya sendiri, ada artikel yang diterima dengan pembetulan. Ada artikel yang diterima tetapi belum menerima komen untuk pembetulan. Maka, usah risau. Hantar sahaja dulu dan tunggu. Artikel ini saya hantar pada bulan Jun dan diterbitkan pada bulan Disember. Perkara biasa, ada masa lebih cepat.
Ketujuh - Jangan nak ikut orang lain. Orang lain terbit artikel, kita pun nak terbit sedangkan kita ada perkara penting lain nak buat. Ikut kemampuan sendiri. Itu memang sudah pasti.
Saya tidak nafikan artikel pertama berjaya terbit ini membuatkan saya semakin bersemangat untuk menulis lagi. Pengalaman membaca komen editor, dah ada. Mudah-mudahan saya akan lebih berlapang dada.
11.16.2021
Kesian Maggie
11.15.2021
3 Kali Temuduga HLP
9.20.2021
Tidak Serik Buat Artikel
Masih ingat tak saya pernah tulis entry mengenai komen editor terhadap artikel yang saya hantar? Boleh klik di sini jika belum pernah baca. Kalau anda pernah baca, meh sambung baca apa yang saya nak kongsi hari ini.
Satu hari, seorang kenalan yang merupakan anak buah SV saya post satu iklan seminar dalam group Whatsapp. Biasanya, saya akan klik link yang ada. Tengok dan baca dulu. Dari maklumat yang saya baca, akan diadakan seminar peringkat antarabangsa pada bulan November dan perlu menggunakan bahasa Inggeris. Sebelum itu, peserta dikehendaki menghantar abstrak untuk dinilai. Owh, tidak.
Bahasa Melayu yang kena komen berjela tu pun nak menangis, kecewa dan sebagainya. Inikan pula bahasa yang dalam SPM hanya dapat gred B3. Alahai, jadi saya abaikan. Sampailah 14 haribulan September saya teringat-ingat iklan seminar ini. Jadi, saya pun koreklah balik link yang kawan saya beri dalam group Whatsapp. Eh, tarikh tutup hantar abstrak tu esok, 15 haribulan.
Eh, tak serik kan? Saja aje saya ni nak cari nahas. Degil, nak jugak buat lagi artikel, omputih plak tu. Maka, saya pun mulalah merangka abstrak dalam bahasa Melayu terlebih dahulu, kemudian minta pakcik Google Translate, Quillbot dan Grammarly. Ni memang paling hebat dah saya rasa. Semak lebih kurang dan buat pendaftaran. Masa hantar ni, kalau kene reject pun tak apalah. Reject ajelah. Boleh cuba pula ditempat lain.
Tup, tup! Dapat email yang menyatakan abstrak saya diterima. MasyaAllah, Alhamdulillah. Allahuakbar. Saya sedar penerimaan abstrak ini mungkin dilihat sebagai salah satu cara untuk mendorong penyelidik baru untuk berkembang. Tidaklah kita ni sehebat mana sebab ilmu Allah SWT terlalu luas. Allahuakbar. Ini adalah peluang. Rasa gembira, kecut, takut, semua ada. Tapi, tak apalah saya cuba mana yang boleh tetapi yang penting cuba dengan sehabis baik.
9.09.2021
Kiriman Dari Kampung
Bila kali terakhir anda jumpa mak abah anda? Jika mereka tinggal di dalam negeri atau daerah yang sama tidak mengapa lah kan? macam saya yang tinggal diselangi dengan beberapa buah negeri memang belum jumpa lagi mak abah tahun ni. Last jumpa rasanya macam dalam bulan Oktober tahun 2020.
Meskipun, jumpa tak dapat lagi, tapi dah dua kali dapat kiriman barang daripada kampung. Dalam gambar tu pisang nipah dari pokok yang mak tanam kat belakang rumah. Memang sedap kalau buat pisang goreng. Dah masak nampaknya pisang ni, tapi kalau tunggu lagi 2 hari lagi sedap.
Yang sebelum ni mak kirim buah-buahan. Ada buah pulasan, buah rambutan dan langsat. Mak memang akan selit-selitkan biskut, 2 3 pek 3 in 1, maggie dan mee siput. Macam anak dia duduk kat asrama. Itu memang perangai mak lah. Dah kenal sangat. Mak kata, ingat kat anak-anak semua. Itu yang kirim.
InsyaAllah, akan ada masa kita bertemu. Saya meman rindu kepada mak abah. Nak minta mak masak macam-macam dan bawa balik rumah. Biasalah kalau jumpa, mesti bertekak-tekak juga. Bak kata orang, kalau jauh bau wangi, kalau dekat bau taik. haha. Rindunya.
Eh, mak dan abah dah pandai pos barang lah. Kena belajar, kata mak. Lepas-lepas ni senang. Saya pun kalau ada benda nak belikan untuk mereka kat kampung, pakai online aje senang. Jauh di mata tapi dekat di telinga. Sayang mak dan abah.
9.08.2021
Bila Peserta Kajian Tarik Diri
8.30.2021
Apa Nak Buat Lepas Lulus PD
8.29.2021
Dah Boleh Dine-In
8.08.2021
10 Tips Perlu Buat untuk Proposal Defend
Nak sediakan apa untuk Proposal Defend? Soalan ini memang selalu ditanya. Bukan anda sahaja, saya pun sibuk tanya sana sini. Kita banyak tanya bukan sebab mereka tidak tahu, mereka nak tahu apa persediaan paling terbaik untuk pastikan sesi PD berjalan dengan lancar. Dan yang paling penting semua soalan yang panel tanya boleh dijawab dengan tenang. Betul belum tentu lagi. Mestilah, matlamat kita tu nak lulus kan?
Di sini, saya kongsikan 10 tips perlu buat untuk Proposal Defend. Perlu diingatkan, ini adalah pengalaman saya sendiri sebagai budak yang masih belajar. Tidak ada kena mengena dengan hidup atau pun mati. Moga boleh jadi panduan ya.
8.07.2021
Lengkap Dua Dos Vaksin
7.30.2021
Dah Dapat Tarikh Proposal Defend
7.22.2021
Berdamai Dengan Musibah Kerana Di Situlah Hikmah
7.17.2021
Rak Buku Putih Buat Hati Aman Membaca
Rak buku berwarna putih ini saya beli kerana rekaannya mengambil inspirasi seni dahan pokok yang bercabang. Rona putih bersih diadun dengan kulit buku berwarna warni menaikkan seri ruang. Satu di ruang kenang-kenangan di dinding bilik belajar. Satu lagi saya letakkan di ruang tamu bercampur dengan buku-buku pilihan suami.
Memang benar, kita perlukan dorongan untuk menghidupkan semangat membaca. Hal ini ditegaskkan lagi oleh Alma Flor Ada dalam Bring Me A Book National Collaborative (2021) yang menyatakan bahawa sudut membaca yang selesa akan meningkatkan hubungan antara buku dengan si pembacanya. Memetik tulisan Tuan Zamri Mohamad (13 Julai 2021) pula menyatakan, membaca mestilah diikat dengan perbuatan harian. Sebagai contoh, sambil makan sarapan, kita menyelak dua tiga halaman buku. Kita mencatat idea semasa mengikuti kuliah santai secara online atau pun membiasakan diri mencipta masa emas 10 minit membaca sebelum masuk tidur.
Daripada saranan ini, saya masih belum lagi mampu buat membaca ketika makan sarapan. Semasa makan, saya suka menghayati makanan dengan bersungguh-sungguh. Paling tidak saya akan menonton filem atau drama pendek yang ringan. Bukan cerita cinta atau aksi yang memerlukan tumpuan saya sepenuhnya.
Jika anda masih merasa masih belum ada semangat untuk membaca, cuba-cubalah tukar rak buku. Mungkin sedikit sebanyak apabila suasana aman, anda lebih tenang membaca. Paling tidak pun, anda boleh letakkan sebuah buku di tepi katil. Buat ubat senang tidur seperti saya.
7.12.2021
3 Sebab Mengapa Perlu Menulis Artikel
7.09.2021
Tips Hadapi Komen Editor
"Aku yakin Allah akan memperbaiki diriku dengan cara yang terbaik" - Pesan Hamka kepada Pendidik, ms 123.
7.08.2021
Analogi SV Macam Garam Dalam Masakan
Tidak boleh dinafikan, supervisor (SV) atau penyelia sangat penting dalam kehidupan seorang pelajar lebih-lebih lagi untuk menyelia projek akhir tahun atau disertasi. Tugas SV sebagai mentor, guru, fasilitator dan pembimbing.
Untuk peringkat PhD, pelajar diberi peluang untuk mencadangkan nama SV terlebih dahulu. Kemudian, cadangan nama akan dipertimbangkan oleh pihak fakulti berdasarkan bidang dan kajian yang ingin dijalankan. Sudah pasti pihak fakulti mempertimbangkan SV yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas tentang bidang yang berkaitan. Dengan cara ini, penyeliaan akan berlaku seiring dengan projek atau disertasi yang akan dilakukan oleh pelajar.
SV saya sekarang adalah SV yang sama semasa belajar peringkat sarjana. Disebabkan faktor keserasian saya memilih beliau untuk menjadi SV. Pernah tak rasa seperti SV tidak mempedulikan diri anda? SV tak balas mesej anda di whatsapp atau SV hanya bluetick sahaja? Saya pun begitu juga.
Saya masih ingat. Masa tu baru sahaja masuk bulan ke 2 dalam semester pertama. Saya hantar kertas cadangan bab 1 saya kepada beliau melalui whatsapp. Diam tanpa berita, SV tidak memberikan apa-apa respons. Seminggu, diam. 2 mingu, diam. Saya tidak putus asa, saya hantar pula tajuk cadangan kajian saya. Diam juga. Selang dua tiga hari, saya tanya lagi. Bluetick, tapi tiada jawapan balas.
Eh, hati saya sudah mula goyang. Waktu ini saya sudah mula buat perbandingan. Apabila ada rakan-rakan yang menceritakan bagaimana SV mereka asyik tanya itu ini, saya sudah tidak tentu arah. Bagusnya SV dia, tak macam SV saya. Mulalah timbul pelbagai prasangka. SV tak suka saya ke? SV menyampah ke dengan saya? SV pilih kasih ke? SV ni tak nak ke meet dengan saya?
Namun, semua perasaan negatif itu tidak kekal lama. Allah SWT tegur saya. Ceritanya, begini. Suatu hari, saya berbual dengan sahabat saya yang tinggal di Batu Pahat, Nurizah. Nurizah baru sahaja selesai pengajian PhD setelah 7 tahun berjuang. Lama kami berbual. Kepadanya, saya luahkan segalanya. Sampai menitis air mata dengan harapan dia memahami apa yang sedang saya hadapi. Di hujung perbualan, Nurizah menasihati saya.
"Lea, SV ko tu sangat betul dah. Perasaan yang kau alami tu pun betul juga. Dua- dua tak salah. Tapi, aku nasihatkan kau macam ni. PhD ni kita yang kena uruskan semua dalam semua sudut. SV tu peranan dia macam garam aje tau."
Analogi garam. Kita hanya memerlukan garam secukupnya untuk melazatkan masakan. Garam menyeimbangkan rasa masakan. Garam tak perlu banyak. Maka, begitu jugalah dengan peranan SV. SV menyempurnakan penyelidikan kita dengan pandangan dan pengalaman yang mereka ada. Tidak semua perkara perlu SV terlibat sama. SV juga ada tugas hakiki yang perlu dilakukan.
Bukanlah tugas SV 24 jam mengingatkan tugas kita sebagai penyelidik dan pelajar. Bukanlah tugas SV ajar kita semua benda. Tetapi carilah SV jika ada yang perlu dibicarakan, dibincangkan atau diluahkan. Mereka juga manusia biasa macam kita. Mereka juga pernah bermula seperti kita.
Tidak perlu dihubungi setiap hari sehingga datang rasa benci. Cuma sekali sekala mengucapkan selamat pada hari-hari istimewa sudah memadai. Jika SV termasuk dalam friendlist di FB, like atau comment pada posting mereka yang anda rasakan menarik. Nampak macam jauh tapi sebenarnya dekat.
"Kau jangan sedih kalau SV ko tak menconteng pada kertas cadangan kau awal-awal ni. Aku dulu pun macam tu juga. Aku pernah tau SV aku tak baca proposal aku walaupun dah 2 bulan. Sama sahaja. Awal lagi Lea. Selepas ni, bila kau dah nak Proposal Defend, kumpul data. Barulah ada engagement. SV kau tu tak ada apa-apa pun. Kau tak perlu nak kecil hati bagai. Kau yang perlu tunjukkan yang kau boleh buat awal-awal ni. Kau mesti boleh."
Sesungguhnya, saya menyesal kerana di dalam hati saya ada rasa sangsi terhadap SV saya. Semoga Allah SWT ampunkan saya. Teguran Allah SWT kepada saya datang tepat pada masanya. Saya tidak hanyut dengan mainan perasaan. Mana ada SV yang nak biarkan anak muridnya sesat dan terbengkalai, kata Nurizah.
Penyesalan ini membuka lebih banyak ruang rasa sayang dan kasih kepada SV. Benarlah kata Hamka, "Cinta itu menghidupkan pengharapan... "
Pengharapan bahawa saya akan dibimbing dengan sebaiknya oleh SV memang terbukti. Apabila saya selesai menyiapkan draft proposal, SV mencadangkan saya untuk memohon Seminar 1. Begitu juga beberapa cadangan pembetulan untuk penulisan artikel saya. Sesi pertemuan semakin bermakna.
Saya amat bersyukur kerana SV tidak ambil peduli pada saya sewaktu awal-awal dulu. Itu lebih baik sebenarnya. Saya dapat belajar sendiri dan mengalami pengalaman belajar serta usaha mendaki perlahan-lahan. Sungguh bernilai.
Kepada rakan-rakan seperjuangan pascasiswazah, peliharalah hubungan dengan SV anda. Saya percaya tidak pernah mereka mengharapkan balasan atas apa yang mereka berikan kepada kita melainkan melihat kita berjaya di puncak kejayaan.
7.05.2021
Kisah PhD : 5 Perkara Untuk Muhasabah Diri Selepas Satu Tahun Belajar
7.03.2021
Kasih Abah
"Tempat kau ok ke tak Long? Kena pasang kawat (pagar berduri) tak? Boleh ke tu nak pergi barang dapur?'
Kasih juga Abah pada saya. Banyak soalan Abah. Abah memang jarang sekali nak cakap dalam group whastsApp keluarga. Suara Abah hanya kepada perkara dirasakan penting sahaja. Macam urusan temu janji di IJN. Jika perkara-perkara lain, biasanya Mak akan cerita pada Abah.
Kasih Abah ni memang luar biasa. Diam tetapi dalam. Saya banyak tak ingat kenangan dengan abah. Mungkin juga, semasa membesar Abah memang tidak banyak cakap dan saya juga sibuk bantu emak jaga adik-adik. Lagipun dulu keluarga kami hanya cukup-cukup sahaja. Tak pernah tak terfikir untuk ada kamera dan merakam gambar-gambar semasa kecil. Atau kami ada kamera, entah, saya juga sudah lupa. Kenang-kenangan semasa kecil memang tidak banyak.
Saya masih ingat abah bawa saya naik basikal semasa hari pertama pendaftaran darjah 1. Abah kayuh basikal dari Batu 5 ke Batu 4. Masa tu abah masih kuat. Askar muda. Tak terasa pun perjalanan itu jauh. Desir-desir angin bersama desiran ombak mengiringi kayuhan Abah. Saya pun tidak berkira semasa itu. Saya gembira sahaja.
Begitu juga semasa saya perlu hadiri temu duga untuk belajar di UTM. Bila ambil kursus pendidikan perlu temu duga, ya lah, bakal guru. Abah bawa saya naik lori dari Muar ke Skudai. Kebetulan, abah memang berkerja sebagai pemandu lori selepas bersara askar. Pagi-pagi naik lori dan Abah turunkan saya di UTM. Abah sambung hantar barang dan ambil saya semula.
Dua kenangan ini memang segar dalam ingatan saya. Sebab kasih Abah sangat istimewa. Saya mungkin ada mewarisi sikap Abah yang degil dan keras kepala. Tetapi dua sikap ini berjaya menjadikan saya yang sekarang. Mungkin kerana ini juga, saya mahu abah melihat kejayaan saya pakai topi burger. Walaupun Abah macam tak peduli saya belajar tetapi saya tahu, Abah sebenarnya ambil peduli dengan caranya sendiri.