4.26.2021

Makna Bersahabat


 
Bicara Hamka tentang makna bersahabat, 

"... adalah untuk sama-sama memperluas tujuan hidup, memperdekat antara satu jiwa dengan jiwa yang lain, yang telah terdapat kesesuaian dalam sesuatu perkara, sehingga dapat didamaikan dalam perkara yang lain." 
- dari buku Pesan Hamka kepada Pendidik (Muhammad Shah Ahmad Nor, 2021).

Maka, hari ini berjanjilah saya dan Fiza untuk berbuka puasa di Westin Hotel. Sebelum bertolak ke hotel, saya sediakan makanan berbuka untuk suami saya di rumah. Nasi goreng kampung, ayam dan cendawan goreng siap saya sediakan. 

Saya dan Fiza sudah berkawan lama. Sejak dari zaman universiti, jika dikira-kira hampir 21 tahun. Suami saya juga mengenalinya. Memang menjadi rutin setiap kali bulan puasa, kami berdua akan berbuka bersama-sama. Kali ni terasa nak berbuka di hotel. Ambil sekali pakej bermalam. Kami berdua tidak cerewet soal makan. Yang kami kesahkan ialah waktu makan berbuka sehingga 10 malam di cafe hotel. 

Kami berdua suka jika dapat duduk dan berbual panjang. Macam-macam isu. Biasanya hal diri kami berdua. Hal keluarga, hal peribadi dan hal kerja. Kadang-kadang, ada sedikit isu-isu semasa. Paling utama, kami berdua saling mendengar dan bertolak ansur. Jika seorang bercerita, seorang diam, dan begitulah sebaliknya. Tidak terburu-buru dalam menyusun kata. 

Ada sahaja waktunya yang Fiza ni berkecil hati dengan saya. Ada kalanya, saya begitu juga. Tetapi, kami tak ambil kisah sangat hal itu terlalu lama. Terlalu banyak perkara lain yang perlu kami tangani. Biarpun, saya mungkin tidak sehebat Saidina Abu Bakar Radiallahuanhu yang sanggup disengat ular semasa di Gua Thur bersama baginda Rasulullah SAW, saya berharap semangat dan nilai persahabatan itu dapat saya adaptasi dalam persahabatan saya ini. 

Makna bersahabat bagi saya, sama-sama berbahagi rasa. Timbal balik antara keduanya setara. Biar kami lompang sana sini, kami saling mengisi. Moga-moga, dia juga dapat menyaksikan kejayaan saya nanti. 


4.19.2021

Kisah PhD: 15 Hari Siap Hantar Full Draft

 



Hari ini, genap 15 hari selepas drama air mata di depan SV.  Sebelum ini telah pun saya ceritakan perkembangan penulisan saya. Bukanlah kosong-kosong sahaja dan secara tiba-tiba siap 3 bab. Bukan begitu. 

Hari ini juga saya telah selesai menulis proposal penuh bab 1 hingga 3 dan protokol temu bual. Lega tidak terkira.  Satu kepuasaan yang tidak dapat dijelaskan. Bagaimanakah saya berjaya menulis dengan lengkap selama 15 hari? 

Pertama, saya menulis mengikut kerangka yang telah dibuat. Daripada kerangka sedia ada, saya senaraikan sub topik. Setiap kali siap satu sub topik, saya tulis tarikh di hujung senarai. Maka, struktur penulisan saya lebih kemas. Bagi saya, penulisan di bab 2 lebih mudah berdasarkan kepada kerangka konseptual yang telah saya bina di bab 1. Saya ikut urutan. Pada waktu ini, saya mengabaikan dahulu kesalahan ejaan dan juga struktur bahasa. Pembetulan saya buat setelah selesai satu sub topik ditulis. Begitu juga caranya untuk bab 3. 

Kedua, saya berhenti rehat apabila perlu. Bangun untuk ambil minuman atau berhenti untuk makan atau solat. Saya juga layan 1 episod cerita Korea yang saya minat. Rehat ini bergantung kepada keadaan tubuh badan kita. Ada masa, saya baring dan lelap mata dan sambung menulis kembali bila sudah segar. 

Ketiga, saya tidak menetapkan masa tertentu untuk menulis. Saya hanya menulis bila mana saya merasakan saya selesa untuk menulis. Saya lebih santai dalam memilih waktu. Ada kalanya, lewat malam membawa ke pagi. Ada masa, waktu petang. 

Keempat, sabar dengan kemampuan sendiri. Benar, ini bahagian yang paling penting. Meskipun, kita sudah menetapkan matlamat dan tarikh tertentu, jika target ini tersasar, berilah peluang kepada diri sendiri. Kadang-kadang saya juga jadi tidak sabar. Saya mahu cepat siap. Rupanya, cara ini tidak memberi kebaikan kepada saya langsung. 

Kita sudah merancang tetapi rancangan kita tidak berjaya sepenuhnya. Tidak apa. Ini bukan bermakna kita tidak berjaya. Kejayaan yang sedikit-sedikit ini perlu diberi perhatian. Beri masa untuk diri sendiri. Saya mungkin jauh ketinggalan daripada rakan satu SV yang sudah pun menghantar permohonan untuk Defend Proposal. Iya, perasaan rasa tertinggal itu ada. Tetapi, jangan dilayan perasaan itu lama-lama. 

Tiba di pejabat SV, Draft proposal saya serahkan kepada pembantu beliau. Satu perkara telah pun selesai. Eh, lupa pula. tadi bukan sekadar serah draft penuh dan protokol temu bual, tetapi saya juga beri draft artikel pertama saya. Alhamdulillah. 


4.02.2021

Kisah PhD: Meluah Bukan Bermakna Kalah

 


"Air mata tidaklah memilih tempat untuk jatuh, tidak pula memilih waktu untuk turun."

- ms 70, Seruan Lelaki Budiman, Inspirasi Hamka. 

Mungkin tidak semua mengetahui bahawa saya pernah merasa putus asa. Saya rasa seperti saya tidak berguna, tidak bijak dan tidak boleh buat apa-apa. Saya pernah baring di atas katil dan menangis beralaskan bantal nipis. Tidak tertahan rasa yang di dalam dada. 

Belajar PhD tidak senang. Sudah ramai yang menasihatkan saya. Banyak bersabar, Lea. Bawa bersabar jika apa yang dicari masih belum jumpa. Duduk tidak kena, berdiri sama, baring lama pun masih tidak lena. Apa sebenarnya yang berlaku?

Susah untuk saya meluahkan. Suami saya bukan tidak berusaha tetapi saya juga tidak tahu apa yang ingin saya kata. Saya hanya mampu duduk diam mengadap skrin dengan pandangan yang kosong. Saya sudah nekad untuk meluah segalanya dengan SV hari ini. Jam 3 petang sebagaimana yang telah dijanjikan, saya masuk ke bilik SV dan duduk. Selepas bertanya khabar, SV hulur kertas cadangan bab 1 saya. 

"Lea, rasanya kamu kena ubah sikitlah tajuk ni. Bahagian M-pembelajaran ni, macam tak sesuai nak masuk dalam kajian sebab macam lari sikit dengan bidang awak." 

Glurp! Saya dah terdiam. Terbayangkan bab 2 yang dah nak siap sebahagian besar menceritakan m-pembelajaran. Tahan, tahan, tahan. Tiba-tiba, saya menangis. Saya tidak dapat menahan. Lama juga. SV hanya perhatikan saya. 

"Ini kajian kamu, Lea. Apa yang kamu nak buat dan sesuai dengan kemampuan awak, saya akan sokong."

Lembut sahaja SV memujuk. Tangisan saya terus reda. Sambil mengesat air mata,  saya selak kertas cadangan bab 1 yang SV kembalikan. Mata saya menangkap tanda right yang diberikan oleh SV. 

"Dr, yang tanda right ni, maknanya saya buat betul ke?" SV saya angguk sambil tersenyum. Dalam hati saya berbunga-bunga. Banyak perenggan juga saya dapat tanda right. Eh, adakah pemahaman saya sudah betul? Masih bertanya-tanya dalam hati. 

"Saya dah semak, dan apa yang awak tunjukkan dalam tulisan bab 1, dah betul. Walaupun ada beberapa perkara perlu ditambah baik ya."

Saya angguk. Alhamdulillah. Syukur Ya Allah. Tidak dapat saya gambarkan betapa gembira hati saya. Terlupa seketika yang saya baru sahaja menangis beria-ia di hadapan SV tadi. SV saya senyum. Ini rupanya hikmah yang Allah SWT sediakan untuk saya. Terasa luas fikiran saya. Terasa seperti beban batu yang besar hilang serta merta. Terasa ada pelangi sedang menyinar di hujung hati. 

Pertemuan ini sungguh bermakna. Allah SWT sudah mengaturkannya dengan cantik sekali. Sungguh, saya bersyukur. Benarlah bagai dikata, meluah bukan bermakna kita kalah. Biarlah diluah daripada terpendam melahirkan dendam. Meluahkan bukan bermakna kita lemah tetapi kita mahu bangkat daripada lelah. 

Saya menyemak kembali kertas cadangan bab 1. Daripada 10 perenggan, 8 daripadanya bertanda right. Saya senyum lagi. Syukur, kefahaman saya tentang topik ini betul. Meskipun baru peringkat awal tetapi ini satu nikmat yang tidak terhingga. Alhamdulillah. Kurniaan ini sangat indah.