6.08.2021

Kisah PhD : Tahniah Kepada Penerima Biasiswa Tahun Ini


Assalamualaikum. 
Bismillahirrahmanirrahim. 


Tahniah kepada yang berjaya mendapatkan biasiswa tahun ini.  Ada lagi tiga jenis biasiswa iaitu HLP (Hadiah Latihan Persekutuan - cuti belajar dan biasiswa), HLP Separuh Masa (tidak cuti belajar tetapi diberi biasiswa) dan Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa. Untuk sampai ke tahap ini, bukan senang. Anda semua adalah insan yang dipilih oleh Allah SWT untuk memikul tanggungjawab ini. 

Perjalanan belajar peringkat sarjana ini penuh dengan ranjau dan onak duri. Kita perlu bergerak sendiri. 
Ada kalanya kita akan berada di atas dan di bawah. Sebagai penerima biasiswa, kita memang perlu habiskan belajar dalam tempoh yg ditetapkan. Akan tetapi KPM tidak kejam. Masih ada di situ tolak ansur kerana mereka sangat memahami situasi belajar. 

Momokkan Grade On Time (GOT), Grade Before Time (GBT) akan sentiasa berlegar-legar. 
Anda semua memang mahukan itu. Percayalah, anda semua boleh buat. 

Kebiasaannya anda akan teruja lebih di semester 1.  Anda mahu SV membaca proposal anda dan memberikan maklum balas.  Anda akan tertunggu-tunggu bila SV akan membuat penyeliaan bersama kita. Anda akan menjadi resah bila mendengar SV rakan-rakan anda sudah mula membuat temu janji. 
Jangan bimbang. 

Ini semua perkara biasa.  Percayalah kepada SV yang anda pilih kerana mereka lebih berpengalaman. SV amat mengetahui kebolehan anda dengan melihat kemajuan dan penulisan anda. Percayalah, semester 1 bukanlah semester untuk terus membetulkan tajuk kajian semata-mata. Ada banyak lagi proses yang anda kan alami untuk ke arah itu. Kita akan belajar metodologi kajian.  Kita perlu faham persekitaran penyelidikan pendidikan utk kajian kita. 

Sepanjang masa belajar nanti, relakan diri anda merasa pahit maung belajar. Menangis, tertekan, itu lumrah.  Relakan dan rasainya, selepas itu anda pasti bangkit kembali. Belajar memang perlukan pengorbanan wang ringgit, tetapi pastikan wang ringgit yang anda keluarkan berbaloi. Terlalu banyak program yg percuma melalui universiti. Program bersasar kelolaan syarikat luar juga disediakan dengan bayaran yang berbaloi.  Dan ada juga program yang indah khabar dari rupa (berdasarkan pengalaman diri sendiri dan orang lain). 

Ini sememangnya memerlukan pemerhatian yang mendalam dan timbang tara aras tinggi untuk membuat pilihan. Sesuailah dengan tahap kematangan anda. Cari pelajar senior anda dalam fakulti dan bidang yang berkaitan dengan anda, berkongsilah rasa. Tidak apa, jika anda rasa anda lebih selesa belajar seorang diri.
Dan tak apa anda tak ada kumpulan belajar yang sama.  Malah, tidak apa-apa kalau anda ada dalam pelbagai group telegram atau whatsapp.

Paling utama, jadilah diri sendiri. Berfikirlah dengan mata hati dan akal yang waras. Jangan biarkan anda direndahkan kemampuan anda hanya kerana anda baru mula belajar.  Anda ada harga diri. Anda andalah orang yang bermotivasi tinggi. Teringat pula pengalaman diri sendiri semasa di semester pertama. 
Bila diingat-ingat kembali, kelakar pun ada. Saya masih lagi meneruskan perjalanan yang misteri ini. 

Kepada rakan, semoga berjaya.  Kepada diri saya sendiri, kuatkan semangat dan terus berusaha. 

Sekali lagi. 
Tahniah kepada Penerima HLP dan biasiswa tahun ini 



0 comments:

Post a Comment