7.30.2021

Dah Dapat Tarikh Proposal Defend




Bila terima email jemputan daripada En Azri, hati saya berdebar. Perkara yang saya tunggu-tunggu telah tiba. Tarikh Proposal Defense. Lebih kurang 60 hari lebih juga saya menunggu untuk dipanggil. Dek kerana terlalu lama menunggu panggilan, ada jugalah masa-masanya saya hanyut. Sempat jugalah siap satu artikel sehingga selesai pembetulan. Lepas terima email, SV tetapkan masa untuk buat latihan pembentangan. Masa ni dah rasa berdebar. 

Saya buka semula draft PD yang setebal 159 muka surat. Apabila saya baca dan jumpa kesalahan ejaan merata tempat, adoi.  Malunya. Masa ni saya dah reda jika panel akan komen mengenai tatabahasa saya yang tonggang langgang. 

Hakikatnya, saya gembira bila sudah dapat tarik PD. Betul, memang saat mendebarkan. Tetapi, pada waktu inilah kita akan dapat tahu perspektif lain penyelidikan kita di kaca mata orang lain. Lebih-lebih lagi yang menilai kita ni ialah pensyarah yang lebih berpengalaman. Sudahlah ada rasa juga bimbang kalau tak lulus. Tak lulus sebab apa, sebab saya takut tak mampu jawab soalan-soalan balas daripada panel. 

Saya masih ingat pesanan seorang rakan kepada saya. Biarlah kita tidak lulus kerana kita telah berusaha. Itu juga pelajaran. Apabilla kita sudah belajar lebih banyak, akan bertambah pengetahuan dan semakin kita menjadi matang. 

Macam biasa, saya beritahu kepada emak, abah, adik beradik, suami dan rakan-rakan terdekat sahaja mengenai tarikh PD. Saya hanya maklumkan kepada rakan-rakan rapat sahaja kerana nak jaga hati dan perasaan saya juga. Jangan tanyalah apa saya rasa sekarang. 

Untuk hari ni, saya nak layan perasaan sekejap. Jumpa lagi nanti. 






7.22.2021

Berdamai Dengan Musibah Kerana Di Situlah Hikmah

Ini kisah semalam. Saya menghantar Azizan ke PPV (Pusat Pemberian Vaksin) di MITEC. Azizan tidak punya kereta, duduk merantau di sini. Kebetulan, Azizan baru lepas pembedahan minor pada matanya. Temujanji jam 6.30 petang. Suami minta Azizan bawa bil api rumah, power bank, hp dan IC. Satu lagi pesanan, jangan cuba nak tipu-tipu kalau kena tahan polis. 

Berdebar juga rasanya. Jika ditahan, jawab sahajalah pertanyaan pihak polis. Meskipun, ini perkara baik saya perlu juga berhati-hati. Perjalanan lancar sampai ke PPV. Saya ambil keputusan untuk menunggu sahaja di dalam kereta di bahu jalan sambil membaca buku. Suasana petang yang sunyi dengan bunyi deruan kereta, menambah ketenangan membaca buku. 

Perjalanan Terakhir Buya Hamka. 
Sayu, perginya Buya Hamka pada tahun sama berlangsungnya perkahwinan ibu bapa saya, 1981. Dan saya lahir pada tahun berikutnya. Di akhir-akhir usia Buya Hamka masih gagah menyebarkan dakwah. Sungguh saya insaf melihat bagaimana ketabahan keluarga Buya Hamka melepaskan kesedihan kehilangan ayah tersayang. Didikan Buya Hamka sangat hebat. 

Teringat pula saya kepada musibah yang saya alami pada tahun 2012. Musibah itu hampir hilang dalam ingatan. Jika mahu diceritakan semula, mungkin ada banyak perkara yang saya sendiri sudah lupa.  Adakah itu tanda saya sudah berdamai dengan musibah? Adakah itu tanda saya sudah mengambil hikmahnya? Saya tidak lupa semua kerana ada sebahagian besarnya masih saya tanggung sehingga saat artikel ini ditulis. Saya berdoa sungguh-sungguh sebelum azan berkumandang. Saya mohon kepada Allah Azza Wajalla, jika ada musibah yang ditakdirkan untuk saya, kurniakanlah kekuatan untuk menghadapinya. Tunjukkan jalan keluar. Lebih-lebih lagi dalam perjalanan menuntut ilmu ini. Berilah saya rasa tenang dan aman. 

Dalam perjalanan pulang, enjin kereta saya mati dengan tiba-tiba dan stereng terasa berat. Saya sempat membelok ke kawasan parking tetapi tidak sempurna. 

"Azizan, kereta rosak ni." saya pandang mukanya. 
"Eh, tak apa-apa. Kita selesaikan sama-sama." 

Ya Allah, musibah kah ini? Ada tulisan yang keluar dari skrin dashboard kereta. Terpacul dari mulut saya, "Ada rezeki besar nak dapat ni, rezeki besar. Ada hikmah ni." Entah kenapa itu yang saya sebut. Saya tidak rasa takut atau gementar tetapi rasa tenang. Adakah ini tandanya saya sedang berdamai dengan musibah? Dengan tenang, saya hubungi suami. Saya terangkan keadaan kereta. Mudah sahaja jawapan suami saya, tinggalkan kereta berkunci dan balik naik grab. Esok, kita fikirkan macam mana nak selesaikan. Sungguh, penyelesaian yang mudah suami saya berikan. Iya, tak perlu kalut. Kami sama-sama buat tempahan Grab, tetapi Grab Azizan sampai dahulu. Saya tak ada masalah ditinggalkan seorang kerana Grab saya sudah tidak jauh. 

Grab pun sampai tetapi saya ambil masa 3 minit untuk masuk ke dalam kereta kerana urusan kunci dan periksa ulang kali terhadap kereta yang hendak ditinggalkan. 

"Maaf Encik. Saya periksa kereta saya berkunci sebab nak tinggalkan di sini kerana rosak."
Sebagaimana doa saya supaya Allah Azza Wajalla agar memberi jalan keluar atas musibah yang menimpa saya, tidak semena-mena pemandu Grab ini menawarkan bantuan. 

"Kereta puan perlu parkir dalam petak. Saya tolong tolak dan puan adjust stereng."
Allahuakbar. Tabarakallah. 

Berulang kali saya ucapkan terima kasih dan berulang kali jugalah pemandu Grab menegaskan bahawa ini hanyalah bantuan kecil secara ikhlas. Bantuan ini nampak kecil tetapi impaknya sangat besar kepada saya. Saya berikan sedikit tips sebagai tanda penghargaan terhadap bantuan yang diberikan. Waktu-waktu yang sukar seperti ini, tips yang sedikit diharapkan dapat menyejukkan hati dan jiwa yang kepenatan. 

Setiap apa kebaikan yang kita lakukan besar pada pandangan Allah SWT. Hari ni, saya bantu Azizan dan pada hari yang sama Allah Azza Wajalla hantar orang lain pula untuk bantu saya. Pahala yang berangkai dan berterusan. 







7.17.2021

Rak Buku Putih Buat Hati Aman Membaca



Rak buku berwarna putih ini saya beli kerana rekaannya mengambil inspirasi seni dahan pokok yang bercabang. Rona putih bersih diadun dengan kulit buku berwarna warni menaikkan seri ruang. Satu di ruang kenang-kenangan di dinding bilik belajar. Satu lagi saya letakkan di ruang tamu bercampur dengan buku-buku pilihan suami. 

Sungguhlah, pemandangan yang cantik dan tenang membuat mata lebih aman. Saya susun mengikut kumpulan penulis. Hamka, Ahmad Patria dan Andrea Hirata disusun elok mengikut susunan. Ada juga bebeberapa penulis lain tetapi bukunya tidak diletak di rak cantik. Bukan mendiskriminasi tetapi sekadar memilih buku-buku dengan saiz yang comel di rak pokok. 

Memang benar, kita perlukan dorongan untuk menghidupkan semangat membaca. Hal ini ditegaskkan lagi oleh Alma Flor Ada dalam Bring Me A Book National Collaborative (2021) yang menyatakan bahawa sudut membaca yang selesa akan meningkatkan hubungan antara buku dengan si pembacanya. Memetik tulisan Tuan Zamri Mohamad (13 Julai 2021) pula menyatakan, membaca mestilah diikat dengan perbuatan harian. Sebagai contoh, sambil makan sarapan, kita menyelak dua tiga halaman buku. Kita mencatat idea semasa mengikuti kuliah santai secara online atau pun membiasakan diri mencipta masa emas 10 minit membaca sebelum masuk tidur. 

Daripada saranan ini, saya masih belum lagi mampu buat membaca ketika makan sarapan. Semasa makan, saya suka menghayati makanan dengan bersungguh-sungguh. Paling tidak saya akan menonton filem atau drama pendek yang ringan. Bukan cerita cinta atau aksi yang memerlukan tumpuan saya sepenuhnya. 

Jika anda masih merasa masih belum ada semangat untuk membaca, cuba-cubalah tukar rak buku. Mungkin sedikit sebanyak apabila suasana aman, anda lebih tenang membaca. Paling tidak pun, anda boleh letakkan sebuah buku di tepi katil. Buat ubat senang tidur seperti saya. 


7.12.2021

3 Sebab Mengapa Perlu Menulis Artikel


Berkali-kali saya melihat komen penilai. Rasa pedih masih ada. Masih nampak luka tetapi darah sudah tiada. Sekiranya saya tahu macam ini rasanya apabila mendapat maklum balas daripada penilai, sudah tentu dari awal saya batalkan sahaja niat saya untuk melihat artikel saya terbit di mana-mana. Cukuplah sahaja penulisan di blog yang syok sendiri ni. Ya, ini ayat orang merajuk. 

Saya sudah masuk hari ke empat membuat pembetulan. Sudah selesai lapan puluh peratus. Kira-kira dalam tujuh hari sahaja lagi masa yang saya ada untuk hantar kembali. Diam-diam, dalam rasa pedih ini, saya mengakui bahawa komen penilai adalah teguran daripada Allah SWT.  

Begini. 

Saya kan menunggu tarikh untuk Proposal Defend yang masih belum ada kepastian. Akibat menunggu lama, semangat untuk menyemak kembali proposal dan slaid pembentangan menurun. Boleh diumpamakan perlahannya seperti siput yang bergerak. Maka, teguran daripada penulisan artikel ini telah membuka ruang yang besar untuk saya menyemak kembali proposal. 

Oh, ada hikmahnya. Ada sebabnya mengapa kita perlu menulis artikel. Salah satu cara untuk mengikat ilmu yang kita ada adalah dengan menulisnya. Lebih-lebih lagi untuk pelajar PhD yang masih pemula dalam bidang penyelidikan. Pengetahuan yang ada juga kadang-kadang terbang merata-rata jika leka menyapa.  

1. Dengan menulis, kita menanam pengetahuan kita tanpa kita sedari. Didahului dengan membaca melalui mata. Kemudian,  ia turun ke hati. Apabila sudah sampai hati akan lebih mudahlah untuk kita fahami. Sebagai pelajar pascasiswazah, keperluan untuk mendapatkan maklumat terkini amat kritikal. Maka, salah satu cara lain untuk membaca artikel terkini adalah dengan menulis artikel sendiri. Kita akan mencari literatur terkini yang berkaitan dengan bidang. Kita baca dan sinstesiskan. Dari situ, otak akan dilatih dengan berfikir secara kritis, membuat analisis dan perbandingan. Nah, ini cara baru untuk membaca. Bukan cara lama yang membosankan dan mampu menidurkan. 

2. Menambah baik penulisan yang terdahulu dengan bahan terkini. Makin lama, makin banyak maklumat yang perlu ditambah. Saya mengulang-ngulang pembacaan, bertambah-tambah pemahaman. Nampak juga kesilapan ejaan yang perlu dibaiki muncul di sana sini. 

3. Kata SV, menulis artikel merupakan salah satu cara menonjolkan bidang kepakaran kita dalam sesuatu bidang.  Lambat laun kita akan menjadi pakar rujuk. Saya masih ingat lagi perbualan lama kami. 

"Lea, kebiasaannya apabila selesai belajar kita akan mahir dengan sesuatu perkara kerana kita dah bersamanya hampir tiga tahun. Jadi, waktu itu Lea mungkin sudah dikenali melalui artikel-artikel yang telah diterbitkan dan akan jadi pakar rujuk. InsyaAllah, saya yakin Lea boleh dengan bidang ini."

Cukuplah 3 sebab mengapa perlu menulis artikel. Saya pasti ada banyak lagi sebab yang boleh dihuraikan daripada topik kecil ini. Saya secara peribadi amat bersyukur kerana ditegur Allah SWT dengan cara ini. Alhamdulillah, Tabarakallah. 


7.09.2021

Tips Hadapi Komen Editor


 "Aku yakin Allah akan memperbaiki diriku dengan cara yang terbaik" - Pesan Hamka kepada Pendidik, ms 123. 

Saya cuba pujuk hati yang kecewa. Kenapa? Saya telah menerima komen editor berkenaan artikel yang saya hantar untuk diterbitkan pada bulan Oktober akan datang. Entah mengapa saya rasa down. Kenapa saya perlu rasa sebegini. Saya memanglah tidak sempurna. Yang sempurna hanya Nabi Muhammad SAW. Alangkan Hamka juga pernah ditegur oleh seorang anak muda selepas kuliahnya. Apatah lagi saya yang baru nak bermula dan masih tidak punya apa-apa. 

Bagaimana yang sewajarnya untuk menghadapi keadaan ini? 

Pertama - Hubungi seseorang untuk meluahkan. Menurut ahli psikologi, manusia akan lebih bertahan jika berada dalam kumpulan kerana adanya interaksi yang membolehkan sokongan diberikan antara satu sama lain. Berlainan dengan diri saya, saya lebih selesa meluahkan masalah kepada seorang kawan sahaja. 




Kedua - Berhenti, ambil satu langkah ke belakang dan jaga diri. Lakukan perkara-perkara seperti yoga, meditasi, jerit kuat-kuat dan berlari. Saya sendiri memilih untuk memasak kari ayam dan roti jala. Tidaklah memasak itu rasanya sedap tetapi tiap saat memasak itu membawa saya melupakan seketika masalah yang sedang dihadapi. 

Ketiga - Ambil masa untuk proses emosi. Saya buat refleksi dengan membandingkan diri saya yang dahulu dan sekarang. Saya sedar ini adalah antara cara untuk saya memperbaiki diri saya. Jika tidak, saya akan hanyut dengan rasa diri sempurna. Lama juga rasanya nak terima hakikat ini. Hari ni sudah masuk hari ketiga tetapi saya masih belum mulakan pembetulan. Tak boleh lama-lama. 3 hari adalah sudah capai tahap minima. 

Keempat - Jangan biarkan penolakan mematikan semangat. Perlahan-lahan saya buka semula komen editor. Mereka tidak menolak artikel saya tetapi mereka mahukan saya membuat pembetulan. Ini adalah bukti penulisan ilmiah saya masih mentah. Penulisan ini akan dirujuk oleh orang lain pada masa akan datang. Mana mungkin penulisan caca marba dan tonggang langgang menjadi rujukan.  

Kelima - Luang masa dengan orang yang tersayang. Dalam tempoh dua hari ini, saya banyak habiskan masa dengan menonton drama bersiri bersama suami. Suami pun tak banyak tanya kerana memahami perang emosi yang sedang saya hadapi. 

Saya tidak boleh lama-lama begini. Masih jauh lagi perjalanan saya. Entah apa lagi yang akan berlaku saya tidak tahu. Namun apa yang pasti, saya sudah punya pengalaman untuk mengatasi situasi yang sama jika berlaku lagi pada masa akan datang. 



7.08.2021

Analogi SV Macam Garam Dalam Masakan

Tidak boleh dinafikan, supervisor (SV) atau penyelia sangat penting dalam kehidupan seorang pelajar lebih-lebih lagi untuk menyelia projek akhir tahun atau disertasi. Tugas SV sebagai mentor, guru, fasilitator dan pembimbing. 

Untuk peringkat PhD, pelajar diberi peluang untuk mencadangkan nama SV terlebih dahulu. Kemudian, cadangan nama akan dipertimbangkan oleh pihak fakulti berdasarkan bidang dan kajian yang ingin dijalankan. Sudah pasti pihak fakulti mempertimbangkan SV yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas tentang bidang yang berkaitan. Dengan cara ini, penyeliaan akan berlaku seiring dengan projek atau disertasi yang akan dilakukan oleh pelajar. 

SV saya sekarang adalah SV yang sama semasa belajar peringkat sarjana. Disebabkan faktor keserasian saya memilih beliau untuk menjadi SV. Pernah tak rasa seperti SV tidak mempedulikan diri anda? SV tak balas mesej anda di whatsapp atau SV hanya bluetick sahaja? Saya pun begitu juga. 

Saya masih ingat. Masa tu baru sahaja masuk bulan ke 2 dalam semester pertama. Saya hantar kertas cadangan bab 1 saya kepada beliau melalui whatsapp. Diam tanpa berita, SV tidak memberikan apa-apa respons. Seminggu, diam. 2 mingu, diam. Saya tidak putus asa, saya hantar pula tajuk cadangan kajian saya. Diam juga. Selang dua tiga hari, saya tanya lagi. Bluetick, tapi tiada jawapan balas. 

Eh, hati saya sudah mula goyang. Waktu ini saya sudah mula buat perbandingan. Apabila ada rakan-rakan yang menceritakan bagaimana SV mereka asyik tanya itu ini, saya sudah tidak tentu arah. Bagusnya SV dia, tak macam SV saya. Mulalah timbul pelbagai prasangka. SV tak suka saya ke? SV menyampah ke dengan saya? SV pilih kasih ke? SV ni tak nak ke meet dengan saya? 

Namun, semua perasaan negatif itu tidak kekal lama. Allah SWT tegur saya. Ceritanya, begini. Suatu hari, saya berbual dengan sahabat saya yang tinggal di Batu Pahat, Nurizah. Nurizah baru sahaja selesai pengajian PhD setelah 7 tahun berjuang. Lama kami berbual. Kepadanya, saya luahkan segalanya. Sampai menitis air mata dengan harapan dia memahami apa yang sedang saya hadapi. Di hujung perbualan,  Nurizah menasihati saya. 

"Lea, SV ko tu sangat betul dah. Perasaan yang kau alami tu pun betul juga. Dua- dua tak salah. Tapi, aku nasihatkan kau macam ni. PhD ni kita yang kena uruskan semua dalam semua sudut. SV tu peranan dia macam garam aje tau."

Analogi garam. Kita hanya memerlukan garam secukupnya untuk melazatkan masakan. Garam menyeimbangkan rasa masakan. Garam tak perlu banyak. Maka, begitu jugalah dengan peranan SV. SV menyempurnakan penyelidikan kita dengan pandangan dan pengalaman yang mereka ada. Tidak semua perkara perlu SV terlibat sama. SV juga ada tugas hakiki yang perlu dilakukan. 

Bukanlah tugas SV 24 jam mengingatkan tugas kita sebagai penyelidik dan pelajar. Bukanlah tugas SV ajar kita semua benda. Tetapi carilah SV jika ada yang perlu dibicarakan, dibincangkan atau diluahkan. Mereka juga manusia biasa macam kita. Mereka juga pernah bermula seperti kita. 

Tidak perlu dihubungi setiap hari sehingga datang rasa benci. Cuma sekali sekala mengucapkan selamat pada hari-hari istimewa sudah memadai. Jika SV termasuk dalam friendlist di FB, like atau comment pada posting mereka yang anda rasakan menarik. Nampak macam jauh tapi sebenarnya dekat. 

"Kau jangan sedih kalau SV ko tak menconteng pada kertas cadangan kau awal-awal ni. Aku dulu pun macam tu juga. Aku pernah tau SV aku tak baca proposal aku walaupun dah 2 bulan. Sama sahaja. Awal lagi Lea. Selepas ni, bila kau dah nak Proposal Defend, kumpul data. Barulah ada engagement. SV kau tu tak ada apa-apa pun. Kau tak perlu nak kecil hati bagai. Kau yang perlu tunjukkan yang kau boleh buat awal-awal ni. Kau mesti boleh."

Sesungguhnya, saya menyesal kerana di dalam hati saya ada rasa sangsi terhadap SV saya. Semoga Allah SWT ampunkan saya. Teguran Allah SWT kepada saya datang tepat pada masanya. Saya tidak hanyut dengan mainan perasaan. Mana ada SV yang nak biarkan anak muridnya sesat dan terbengkalai, kata Nurizah. 

Penyesalan ini membuka lebih banyak ruang rasa sayang dan kasih kepada SV. Benarlah kata Hamka, "Cinta itu menghidupkan pengharapan... "

Pengharapan bahawa saya akan dibimbing dengan sebaiknya oleh SV memang terbukti. Apabila saya selesai menyiapkan draft proposal, SV mencadangkan saya untuk memohon Seminar 1. Begitu juga beberapa cadangan pembetulan untuk penulisan artikel saya. Sesi pertemuan semakin bermakna. 

Saya amat bersyukur kerana SV tidak ambil peduli pada saya sewaktu awal-awal dulu. Itu lebih baik sebenarnya. Saya dapat belajar sendiri dan mengalami pengalaman belajar serta usaha mendaki perlahan-lahan. Sungguh bernilai. 

Kepada rakan-rakan seperjuangan pascasiswazah, peliharalah hubungan dengan SV anda. Saya percaya tidak pernah mereka mengharapkan balasan atas apa yang mereka berikan kepada kita melainkan melihat kita berjaya di puncak kejayaan. 

7.05.2021

Kisah PhD : 5 Perkara Untuk Muhasabah Diri Selepas Satu Tahun Belajar


 
Diam tak diam sudah habis semester kedua. Sekejap sahaja masa berlalu. Saya mengakui belajar ini sesuatu yang tidak mudah tidak kira diperingkat apa pun. Setiap tingkat memerlukan usaha dan pengorbanan. Belajar akan menguji banyak perkara. Cara kita berfikir, cara kita memandang, cara kita mengadaptasi, cara kita membaca, cara kita makan, eh, ada kena mengena ke? Ya, semuanya berubah dan saling berkaitan antara satu sama lain. 

Pada saya sendiri, belajar PhD ini susah. Betul, saya tak tipu. Ada yang ambil masa yang lama, ada yang dalam tiga tahun. Ada yang senyum sepanjang masa dan ada yang lelah dan merana. Ada yang tajuknya kekal sampai ke viva, ada yang bertukar itu dan ini tiap masa. Ada yang berhenti terus, dan ada yang berhenti sebentar mencari bahu untuk bersandar. Semua keadaan ini membuatkan saya sentiasa muhasabah diri. Saya sendiri tidak tahu bagaimana rupa perjalanan saya sendiri. 

Ada beberapa perkara yang saya amalkan sebagai rutin harian. Antaranya, 

Pertama - Menetapkan sasaran . 
Saya akan menulis sasaran harian di dalam diari. Sasaran tercapai atau tidak, itu bahagian lain. Apa yang penting ialah saya menetapkan matlamat saya terlebih dahulu. Kebiasaannya, saya letak satu sahaja. Jika ada kerajinan yang lebih, saya letak dua. Apabila selesai, saya akan catat done. Jika tak boleh selesai dalam satu hari, sasaran yang sama saya bawa pada hari berikutnya, sehinggalah sasaran yang ditetapkan selesai. 

Kedua - Tetap menulis. 
Saya termenung lama di bab 2 - Sorotan Literatur. Ada dalam satu bulan lebih tersangkut. Tetapi bila dapat momentum, lajunya seperti tidak mahu berhenti. Menulis pada saya tak ada masalah kerana saya boleh copy paste daripada mana-mana artikel atau tesis dan buat olahan semula. Ini perlu disertai dengan ketekunan dan teknik membaca dengan betul. Mana-mana idea atau kupasan yang sama dengan konteks saya, saya lebih salin semula. Dengan ini, saya akan lebih mudah untuk ingat, ditambah pula menggunakan ink berwarna merah sebagai tanda bahawa bahagian itu perlu dibaiki lagi. Cuma, masalah utama saya di bahagian mencantikkan olahan ayat. Sesekali baca, ayat berterabur dan tidak ummpph. Tak apa lah, kerana ini masih di peringkat awal. 

Ketiga - Beri masa untuk rehat. 
Kadang-kala rasa macam nak duduk di meja belajar dan menulis tanpa henti. Tetapi itu tak mungkin berlaku. Bila mana saya berehat, saya akan berehat betul-betul. Saya makan, tengok drama bersiri satu dua episod, dan sambung kembali. Bukan boleh nak lelap lama sangat sebab bila saya cuba lena, terbayang-bayang tesis depan mata. 

Keempat - Jujur dengan SV
Iya, ini penting. Jujur maksud saya ialah berterus terang dengan SV apa yang mampu dan tak mampu kita buat. SV tidak tahu apa yang kita alami. Secara logiknya, jika kita diam dan tak bersuara, ini bermakna kita tiada apa-apa masalah. Maka, bersuaralah jika ada perkara yang perlu dibincangkan. Meskipun SV itu sendiri ada urusan yang banyak untuk diselesaikan. InsyaAllah, akan ditunjukkan jalan keluar. 

Kelima - Kumpulan sokongan yang positif. 
Kumpulan sokongan saya terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan bidang. Dalam group whatsapp ini bolehlah jika ingin berkongsi suka duka tetapi tidak perlulah diceritakan semuanya di situ. Ada masanya kita perlu simpan untuk diri kita sendiri. Ada masanya, rakan-rakan kita pun ada masalah yang tidak mahu dikongsi bersama kita. Tak apa. Kita meraikan apa yg dikongsi. 

Semua ini adalah proses pembelajaran. Proses yang mematangkan pemikiran, proses yang menghidupkan rasa. Sangat penting kita percaya kepada proses yang kita lalui. Meskipun ada rasa lambat, hambar dan gundah, tak apa. Laluinya, dan cari jalan keluar. Kadang kala nun jauh di sana, dan ada kalanya betul-betul depan mata. 

Saya masih lagi menunggu tarikh seminar 1 (Proposal Defend Seminar). Debar aje rasa. 





7.03.2021

Kasih Abah


Apabila diumumkan PKPD, saya termenung panjang. Memanglah semasa PKP pun, tidak ke mana-mana. Sekadar exercise naik turun tangga, pick up parcel yang sampai dan sekali sekala keluar beli barang dapur. Selebihnya memang ada sahaja di rumah. Jika tidak menulis, saya membaca buku. Sekali sekala menyertai suami melihat movie bersama. 

Abah call saya dalam jam 8.12 malam. 

"Tempat kau ok ke tak Long? Kena pasang kawat (pagar berduri) tak? Boleh ke tu nak pergi barang dapur?' 

Kasih juga Abah pada saya. Banyak soalan Abah. Abah memang jarang sekali nak cakap dalam group whastsApp keluarga. Suara Abah hanya kepada perkara dirasakan penting sahaja. Macam urusan temu janji di IJN. Jika perkara-perkara lain, biasanya Mak akan cerita pada Abah. 

Kasih Abah ni memang luar biasa. Diam tetapi dalam. Saya banyak tak ingat kenangan dengan abah. Mungkin juga, semasa membesar Abah memang tidak banyak cakap dan saya juga sibuk bantu emak jaga adik-adik.  Lagipun dulu keluarga kami hanya cukup-cukup sahaja. Tak pernah tak terfikir untuk ada kamera dan merakam gambar-gambar semasa kecil. Atau kami ada kamera, entah, saya juga sudah lupa. Kenang-kenangan semasa kecil memang tidak banyak. 

Saya masih ingat abah bawa saya naik basikal semasa hari pertama pendaftaran darjah 1. Abah kayuh basikal dari Batu 5 ke Batu 4. Masa tu abah masih kuat. Askar muda. Tak terasa pun perjalanan itu jauh. Desir-desir angin bersama desiran ombak mengiringi kayuhan Abah. Saya pun tidak berkira semasa itu. Saya gembira sahaja. 

Begitu juga semasa saya perlu hadiri temu duga untuk belajar di UTM. Bila ambil kursus pendidikan perlu temu duga, ya lah, bakal guru. Abah bawa saya naik lori dari Muar ke Skudai. Kebetulan, abah memang berkerja sebagai pemandu lori selepas bersara askar. Pagi-pagi naik lori dan Abah turunkan saya di UTM. Abah sambung hantar barang dan ambil saya semula. 

Dua kenangan ini memang segar dalam ingatan saya. Sebab kasih Abah sangat istimewa. Saya mungkin ada mewarisi sikap Abah yang degil dan keras kepala. Tetapi dua sikap ini berjaya menjadikan saya yang sekarang. Mungkin kerana ini juga, saya mahu abah melihat kejayaan saya pakai topi burger. Walaupun Abah macam tak peduli saya belajar tetapi saya tahu, Abah sebenarnya ambil peduli dengan caranya sendiri.