"Tempat kau ok ke tak Long? Kena pasang kawat (pagar berduri) tak? Boleh ke tu nak pergi barang dapur?'
Kasih juga Abah pada saya. Banyak soalan Abah. Abah memang jarang sekali nak cakap dalam group whastsApp keluarga. Suara Abah hanya kepada perkara dirasakan penting sahaja. Macam urusan temu janji di IJN. Jika perkara-perkara lain, biasanya Mak akan cerita pada Abah.
Kasih Abah ni memang luar biasa. Diam tetapi dalam. Saya banyak tak ingat kenangan dengan abah. Mungkin juga, semasa membesar Abah memang tidak banyak cakap dan saya juga sibuk bantu emak jaga adik-adik. Lagipun dulu keluarga kami hanya cukup-cukup sahaja. Tak pernah tak terfikir untuk ada kamera dan merakam gambar-gambar semasa kecil. Atau kami ada kamera, entah, saya juga sudah lupa. Kenang-kenangan semasa kecil memang tidak banyak.
Saya masih ingat abah bawa saya naik basikal semasa hari pertama pendaftaran darjah 1. Abah kayuh basikal dari Batu 5 ke Batu 4. Masa tu abah masih kuat. Askar muda. Tak terasa pun perjalanan itu jauh. Desir-desir angin bersama desiran ombak mengiringi kayuhan Abah. Saya pun tidak berkira semasa itu. Saya gembira sahaja.
Begitu juga semasa saya perlu hadiri temu duga untuk belajar di UTM. Bila ambil kursus pendidikan perlu temu duga, ya lah, bakal guru. Abah bawa saya naik lori dari Muar ke Skudai. Kebetulan, abah memang berkerja sebagai pemandu lori selepas bersara askar. Pagi-pagi naik lori dan Abah turunkan saya di UTM. Abah sambung hantar barang dan ambil saya semula.
Dua kenangan ini memang segar dalam ingatan saya. Sebab kasih Abah sangat istimewa. Saya mungkin ada mewarisi sikap Abah yang degil dan keras kepala. Tetapi dua sikap ini berjaya menjadikan saya yang sekarang. Mungkin kerana ini juga, saya mahu abah melihat kejayaan saya pakai topi burger. Walaupun Abah macam tak peduli saya belajar tetapi saya tahu, Abah sebenarnya ambil peduli dengan caranya sendiri.
0 comments:
Post a Comment