8.30.2021

Apa Nak Buat Lepas Lulus PD

Memang betul, dah lepas PD dah lega sedikit. Saya tidur kepenatan seolah-olah penat mendaki gunung. Bolehlah senyum banyak sikit. Saya rehat dalam 2 hari dan tak mengadap langsung PC. Saya banyak baring, main game, habiskan masa berborak dengan suami dan tengok tv sama-sama. 

Rehat pun dah cukup. Semangat dah ada balik. Mari kita mula. 

Pertama, jangan lama-lama sangat berehat tu. Sementara otak masih segar dengan komen panel tu, terus buat pembetulan. Bimbang kalau tak ada rakaman semasa sesi tetapi kita catat sahaja, kita akan cepat lupa. 

Kedua, semak semula komen dan cadangan panel.  Nak baca komen panel ni memang perlu kuatkan diri. Kena buku minda dan jiwa. Kenapa saya kata begitu, sebab bila baca komen terngiang-ngiang suara panel. Kebetulan sesi online, saya minta bantuan Ayu, rakan Group Wonder Women untuk rakamkan sesi PD. Dengan melihat semula rakaman, lebih mudah membuat catatan semula semua komen panel terhadap draft saya. Satu-satu saya terus pindahkan ke dalam jadual matrik pembetulan. Ambil masa dalam sehari suntuk jugalah. 

Mesti ada yang nak tahu kan berapa panjang komen panel saya, kan? Ha, panel 1 dalam 20 perkara dalam 13 muka surat. Silakan bertabah. Manakala panel kedua dalam 35 perkara macam tu. Apabila saya gabungkan kedua-dua komen, ada dalam 25 perkara. Banyak kan? Mujur juga dalam 25 perkara tu 15 daripadanya saya sudah bersedia. Kan saya ada sebut, saya sedar kelemahan yang ada pada draft saya. Saya dah ready siap-siap. 

Ketiga, adakan perbincangan dengan SV. Lagi cepat lagi bagus ye. Terbalik dengan saya, saya buat dahulu pembetulan, selepas seminggu baru SV lapang untuk adakan sesi dengan saya. Tak apa pun. Kata SV, saya boleh dah jalan sendiri tetapi untuk formaliti kan? Kita nak juga meeting dengan mak kita untuk borak-borak. Gitu... Sekejap sahaja dalam masa 30 minit  dah capai kata sepakat. 

Keempat, beri target masa untuk siapkan. Kawa-kawan saya ada yang siap dalam 2 minggu. Saya? Memandangkan komen panel 1 aje dah 13 muka surat, saya tak rasa saya boleh siap dalam masa 2 minggu. Alang-alang dapat komen panjang berjela, baik saya baiki dengan sebaik mungkin. Saya juga mahukan pembetulan ini sebaiknya 100 peratus sempurna selepas pembetulan. SV pun kata, sebulan aje. Jadi, memang kena rancang betul-betul. Saya buat catatan dalam diari saya, apa pencapaian yang dapat dibuat. Saya memang buat kerja ikut tertib. Saya tak pandai tebuk sana, tebuk situ. Oran panggil apa, skema. Kan?



Kelima, rujuk dengan kawan-kawan yang sudah selesai PD. Ini memang perlu. Borang apa nak hantar, nak isi apa, semua tanyalah. Masa ini, kak Zurina banyak ajar saya. Apabila semua benda ni kita sudah tahu, lagi mudah lah kita merancang. 

Cukuplah kot 5 perkara nak buat lepas PD. SV saya kata, biarlah kita dikomen  di peringkat awal supyaa banyak perkara yang boleh dibaiki. Terus terang dari hati saya, PD memang banyak membantu saya. Jangan berkecil hati bila panel kata penulisan kita macam menulis laporan. Tak apa. Kita kan baru belajar menulis. Memang macam tulah. 






 



8.29.2021

Dah Boleh Dine-In

Eh, ah boleh dine-in. Bestnya. Alhamdulillah, berita yang melegakan banyak pihak. Jadi rancangnya semalam pergi makan kat kedai. Kan dah boleh dine in dalam kedai. Siapa lagi kawan yang kita nak ajak kalau tak Fiza. Marilah kita, jangan lepaskan peluang. Kita pergi pun tempat yang dekat-dekat, sudahlah. 

Tempat dekat-dekat tu paling sesuai The Curve ajelah. Kita nak pusing-pusing sikit, pastu kita nak makan dalam kedai yang tak ada orang ramai sangat dan borak-borak. Keadaan di The Curve memang sangat lengang. Tak ramai orang sangat ataupun sebab kami datang masa hari orang kerja. 




Rasa lain juga bila dapat keluar dari rumah jalan-jalan ni. Rasa mcam burung dapat terbang bebas. Akhirnya, kami putuskan untuk makan di Kluang Station sahaja. Memang tak ramai orang. Jadi, kami pilih meja yang agak jauh dari pintu masuk sebab kami ni nak berborak. 

Saya order satay dan mee goreng mamak. Fiza pula order mee hoon goreng dan rojak buah. Saya banyak pulak makan hari ini. Reward untuk diri sendiri sebab pembetulan dah hampir siap. Hanya tinggal bahagian rujukan sahaja. Reward untuk diri sendiri ni penting sebagai cara untuk mengurus emosi. Saya mudah aje, reward saya makan. Saya memang kuat makan. 

Saya siap pesan pada peramu saji, kalau boleh cepat sikit lah sebab saya lapar sangat. Memang tak senonoh. Makanan sampai aje, start makan sambil berborak. 




Tiap kali jumpa, kami memang akan ada isu yang dibincangkan. Kali ni, tentang pengurusan harta semasa hidup dan selepas kematian. Saya kongsikan pengalaman suami saya membuat pengurusan wasiatnya dengan MAIS (Majlis Agama Islam Selangor). Walaupun perbincangan kami serius dan hangat, semakin laju pulak makanan tu masuk dalam mulut. Saya agak suara saya bercakap macam satu kedai dengar. Minta maaf lah ye tuan kedai. Dah lama sangat tak masuk kedai dan makan dalam kedai. 

Kami luang masa berbual dalam kedai ni ada dalam 1 jam lebih. Lebih tu tak tahu berapa. Tapi, pada saya perjumpaan kami ni sangat-sangat berbaloi. Masing punya masa untuk melepaskan perasaan, bercerita dan menyokong antara satu sama lain. 

Saya juga memang memerlukan saat-saat bersama kawan-kawan sementelah banyak sangat duduk terkurung di rumah. Jika ditanya, stress atau tidak belajar ni, saya akan jawab ye, saya stress. Adalah macam-macam perkara yang saya buat untuk meminimakan stress tu. Nanti-nantilah kita cerita. 

8.08.2021

10 Tips Perlu Buat untuk Proposal Defend

Nak sediakan apa untuk Proposal Defend? Soalan ini memang selalu ditanya. Bukan anda sahaja, saya pun sibuk tanya sana sini. Kita banyak tanya bukan sebab mereka tidak tahu, mereka nak tahu apa persediaan paling terbaik untuk pastikan sesi PD berjalan dengan lancar. Dan yang paling penting semua soalan yang panel tanya boleh dijawab dengan tenang. Betul belum tentu lagi. Mestilah, matlamat kita tu nak lulus kan? 

Di sini, saya kongsikan 10 tips perlu buat untuk Proposal Defend. Perlu diingatkan, ini adalah  pengalaman saya sendiri sebagai budak yang masih belajar. Tidak ada kena mengena dengan hidup atau pun mati. Moga boleh jadi panduan ya. 


Pertama, slaid pembentangan. 
Ini perkara paling penting. Banyak aspek yang nak dilihat dalam slaid pembentangan. 
Isi kandungan yang tepat mewakili draft yang telah dihantar. 
Tema warna slaid. Ada sesetengah yang kata, hitam putih bagus. Yang warna warni bagus. Pada saya mana-mana bagus tetapi kena ingat slaid ini adalah untuk dipamerkan kepada orang lain. Maka, pandangan orang lain penting masa ini. Kalau nak buat slide terbang-terbang tu, ada bunyi letup-letup bom, elak-elakkan lah ye. Banyak dah slaid infografik yang membantu dengan tema warna yang lebih matang. Format slaid ini bergantung kepada universiti. Ada yang boleh sampai 30 slaid, ada yang nak 10 slaid. Ini kena semak semula. Satu lagi, jangan letak banyak sangat wording, serabut. 

Kedua, latihan. 
Ada sesetengah individu yang boleh masuk PD tanpa latihan. Redah sahaja, bagus. Tetapi, jika anda ni jenis darah gemuruh, buatlah latihan. Saya buat latihan dengan SV - 2 kali. Dengan kawan-kawan adalah dalam empat kali.  Sampai kawan saya tu boleh hafal dah penyataan masalah saya. Latihan ni penting ye kawan-kawan. Selain nak latih bagi lancar, nak latih ikut masa yang ditetapkan. Macam saya ada 20 minit. Nak bagi rangkum 159 muka surat dalam masa 20 minit macam tak logik. Tapi, kena buat sampai logik. 
Masa ni kawan-kawan kita boleh berlakon jadi panel, komen slaid kita, soal kita. Dapatlah kita berlatih untuk menjawab. Jawab ajelah kalau salah pun. Kalau dah ada artikel yang dihantar untuk terbit, letak sekali dalam slaid. Ada nilai tambah sikit. 

Ketiga, skrip pembentangan. 
Saya memang kena ada skrip kerana saya perlukan bantuan ketika saya bercakap. Ada kala saya tidak ikut pun 100 peratus. Tetapi sekiranya ada bantuan, saya lebih yakin. Bila PD online, skrip ni memang boleh guna sangat-sangat. Tampal sahaja di tepi skrin. Mudah-mudahan lancar kita. Saya sendiri siap buat skrip jawapan jika soalan yang ditanya saya tak tahu. Skrip untuk jawapan yang saya beri salah, skrip menjawab cadangan panel, skrip untuk membuat penambahan maklumat. 

Keempat, soalan target. Eh, ni dah macam nak SPM, main target-target. Kawan-kawan, yang kita target tu perkara yang sudah ada dalam penulisan kita. Apa yang kita tulis tu, jika tidak jelas, akan ditanya. Yang jelas pun ditanya. Jadi, kita perlu sedia. Kena prepare, apa ayat nak jawab. Saya sediakan 30 soalan dan 30 jawapan, yang ditanya 15 daripada 30. Selebihnya, tembak sahaja dengan penuh bergaya. 

Kelima, kenal pasti siapa panel. Ada masa, calon tidak kenal siapa panel. Saya tahu nama-nama pensyarah yang akan terlibat dalam sesi saya, tetapi saya tidak pasti siapakah pembaca draft saya. SV saya lah yang bantu beritahu jika panel ini, begini. Jika panel itu, begitu. Saya dapat maklumat ketika dalam latihan. Sekiranya, pensyarah yang terlibat itu merupakan SV kepada kawan-kawan yang kita kenal, kita pergilah risik-risik. Mesti ada benda yang kita boleh tambah baik. Betul, ini memang betul-betul berlaku pada saya. 

Keenam, tambah pembetulan saat akhir. Eh, boleh ke? Saya secara jujur, banyak buat penambahan semasa pembentangan. Ada juga dalam 50 peratus, besar kan? Sebab saya dah nampak kelemahan dan kekurangan draft saya. Masa bila saya nampak kelemahan saya? Bila saya banyak buat latihan.  Saya tambah sahaja. SV saya juga sokong. Kata mereka, setidak-tidaknya kita berusaha tunjukkan  penambahbaikan. Alhamdulillah, panel pembaca menerima dengan hati terbuka. Tinggal nak tambah sahaja dalam pembetulan kan sebab sudah ada justifikasi. 

Ketujuh, percayakan SV dan usaha anda sendiri. 
Yang ni memang saya nak pesan, ikhlas dari hati saya. SV kita tu memang dah berpengalaman, sangat-sangat lah kalau nak dibandingkan dengan kita yang baru nak belajar. Dengar nasihat dan pandangan mereka. Saya sendiri ni, hampir-hampir untuk tukar ayat persoalan kajian saya lepas saya pergi kelas bimbingan tambahan. Kata orang yang bimbing tu, jika saya tidak tukar ayat pada objektif dan persoalan kajian saya, saya akan dapat major correction. Apa rasa ya bila orang tu kata gitu? Saya tetap tak tukar sebab saya yakin dengan SV saya. Pada hari PD, objektif dan persoalan kajian saya tu tepat dan rasional untuk dikaji. Nampak? Boleh cari macam-macam ilmu kat luar sana, tetapi cari orang yang bertauliah dan diiktiraf. Yang sama mengaji dengan kita, boleh dengar, pertimbangkan dengan betul. Sebab hujungnya, kita perlu allign dengan SV kita juga. 

Kelapan, teknikal. Bila sesi PD kita online, semua ni penting. Rasanya semua dah tahu, boleh Google aje macam mana nak bagi suara sedaplah, muka cantik, sharp dan macam-macam lagi. Oh ye, PD online ni boleh lah share link GM dengan kawan-kawan. Saya share juga link tetapi dengan kawan-kawan yang rapat. Bukan apa, saya masih gemuruh. Saya masih belum bersedia nak beri ramai masuk tengok saya. Tak kuat. 

Kesembilan, persiapan mental, rohani dan fizikal. Memandang semua yang belajar PhD ni adalah pilihan sendiri, sudah pasti masing-masing mempunyai cara terbaik untuk diri sendiri. Saya simpulkan, jaga 3 benda ni. Banyak tips-tips yang kawan-kawan boleh dapatkan. Yang ini tidak perlulah saya ulas panjang lebar. 

Kesepuluh, senyum sepanjang sesi. Senyum. Walaupun masa dapat komen daripada panel tu macam pisau tertusuk ke dada, telinga dah panas, mata pun bergenang tinggal nak mengalir, ingat untuk angguk kepala dan senyum. Saya paling ingat bila panel puji saya, macam biasa awal-awal tu memang mereka puji. Mereka kata penulisan saya ada kohesi dan koheren, mudah dibaca dan difahami, terus kepada maksud. Masa tu rasa macam nak meloncat. Sebab apa, inilah antara benda yang saya sangat risaukan. Penulisan macam budak tadika. Pujian ini menjadi pengubat saya meskipun lepas tu berdas-das kena. Haha. Saya juga masih ingat, pengerusi sesi kata saya menjawab dengan tenang semua soalan. Ini ada yang berjawab dengan fakta dan ada yang dijawab ikut suka. Agak-agak boleh tahu tak kenapa saya boleh tenang? tu, tips kat atas tu. 

Kawan-kawan, PD adalah medan untuk kita belajar banyak perkara baru. Sesi saya berjalan selama 2 jam ya. Kematu duduk lama. Tetapi itulah kenangan manis yang mengajar kita erti perjuangan. 

Alhamdulillah, saya lulus dengan pembetulan. 
Ya, saya menangis. Terlalu banyak sebab kenapa saya menangis. 
Maka, di hujung penulisan ini, saya mengajak kawan-kawan jangan berhenti berharap. 
Marilah kita sama-sama teruskan perjuangan kita. 
Jika penat, berehatlah. Jika mengantuk, tidur. 
Sebab esoknya, kita akan bangun dengan semangat yang baru. Jumpa lagi nanti. 

8.07.2021

Lengkap Dua Dos Vaksin




Alhamdulillah. 
Sudah lengkap dua dos vaksin. Saya, Abe, Abah, Mak, Nonit, Emi dan Angah. Yang lain-lain akan menyusul selepas ini mengikut giliran. 

Bagi saya, tanggungjawab sebagai manusia untuk menjaga nyawa adalah wajib. Malah saya juga bertanggungjawab menunaikan tugas sebagai rakyat ke arah komuniti kelompok bagi mengelak peratus jangkitan. Benar, saya juga sedar bahawa vaksin bukan tiket untuk saya bebas dijangkiti. Dipihak saya, saya usaha sehabis daya saya. Duduk di rumah dan hanya keluar jika ada hal yang penting. Ada juga rasa tertekan tu kadang-kadang, tapi kita cubalah tenang-tenangkan perasaan tu. 

Urusan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di PWTC pada hari Rabu lepas sungguh lancar. Tidak perlu berasak-asak seperti kali pertama dahulu. Kira-kira dalam 20 minit selesai. Syukur. Semakin banyak tambah baik dilakukan. Perlu juga ambil gambar kenang-kenangan. 

Vaksin apa? Astra Zeneca. Saya dan Abe vaksin yang sama. Kesan kali ini agak ringan. Saya hanya sakit kepala waktu petang sehingga malam. Esok-esok dah tak ada dah. Abe pula tiada kesan sampingan. Nampak elok dan suhu badan pun tak naik. Ubat dah berdamai dalam badan. Alhamdulillah. 

InsyaAllah, semoga kita sama-sama sihat sejahtera. Terima kasih barisan hadapan, doktor, jururawat dan sukarelawan. Besar ganjaran dan pahala. Kita jaga kita.