8.08.2021

10 Tips Perlu Buat untuk Proposal Defend

Nak sediakan apa untuk Proposal Defend? Soalan ini memang selalu ditanya. Bukan anda sahaja, saya pun sibuk tanya sana sini. Kita banyak tanya bukan sebab mereka tidak tahu, mereka nak tahu apa persediaan paling terbaik untuk pastikan sesi PD berjalan dengan lancar. Dan yang paling penting semua soalan yang panel tanya boleh dijawab dengan tenang. Betul belum tentu lagi. Mestilah, matlamat kita tu nak lulus kan? 

Di sini, saya kongsikan 10 tips perlu buat untuk Proposal Defend. Perlu diingatkan, ini adalah  pengalaman saya sendiri sebagai budak yang masih belajar. Tidak ada kena mengena dengan hidup atau pun mati. Moga boleh jadi panduan ya. 


Pertama, slaid pembentangan. 
Ini perkara paling penting. Banyak aspek yang nak dilihat dalam slaid pembentangan. 
Isi kandungan yang tepat mewakili draft yang telah dihantar. 
Tema warna slaid. Ada sesetengah yang kata, hitam putih bagus. Yang warna warni bagus. Pada saya mana-mana bagus tetapi kena ingat slaid ini adalah untuk dipamerkan kepada orang lain. Maka, pandangan orang lain penting masa ini. Kalau nak buat slide terbang-terbang tu, ada bunyi letup-letup bom, elak-elakkan lah ye. Banyak dah slaid infografik yang membantu dengan tema warna yang lebih matang. Format slaid ini bergantung kepada universiti. Ada yang boleh sampai 30 slaid, ada yang nak 10 slaid. Ini kena semak semula. Satu lagi, jangan letak banyak sangat wording, serabut. 

Kedua, latihan. 
Ada sesetengah individu yang boleh masuk PD tanpa latihan. Redah sahaja, bagus. Tetapi, jika anda ni jenis darah gemuruh, buatlah latihan. Saya buat latihan dengan SV - 2 kali. Dengan kawan-kawan adalah dalam empat kali.  Sampai kawan saya tu boleh hafal dah penyataan masalah saya. Latihan ni penting ye kawan-kawan. Selain nak latih bagi lancar, nak latih ikut masa yang ditetapkan. Macam saya ada 20 minit. Nak bagi rangkum 159 muka surat dalam masa 20 minit macam tak logik. Tapi, kena buat sampai logik. 
Masa ni kawan-kawan kita boleh berlakon jadi panel, komen slaid kita, soal kita. Dapatlah kita berlatih untuk menjawab. Jawab ajelah kalau salah pun. Kalau dah ada artikel yang dihantar untuk terbit, letak sekali dalam slaid. Ada nilai tambah sikit. 

Ketiga, skrip pembentangan. 
Saya memang kena ada skrip kerana saya perlukan bantuan ketika saya bercakap. Ada kala saya tidak ikut pun 100 peratus. Tetapi sekiranya ada bantuan, saya lebih yakin. Bila PD online, skrip ni memang boleh guna sangat-sangat. Tampal sahaja di tepi skrin. Mudah-mudahan lancar kita. Saya sendiri siap buat skrip jawapan jika soalan yang ditanya saya tak tahu. Skrip untuk jawapan yang saya beri salah, skrip menjawab cadangan panel, skrip untuk membuat penambahan maklumat. 

Keempat, soalan target. Eh, ni dah macam nak SPM, main target-target. Kawan-kawan, yang kita target tu perkara yang sudah ada dalam penulisan kita. Apa yang kita tulis tu, jika tidak jelas, akan ditanya. Yang jelas pun ditanya. Jadi, kita perlu sedia. Kena prepare, apa ayat nak jawab. Saya sediakan 30 soalan dan 30 jawapan, yang ditanya 15 daripada 30. Selebihnya, tembak sahaja dengan penuh bergaya. 

Kelima, kenal pasti siapa panel. Ada masa, calon tidak kenal siapa panel. Saya tahu nama-nama pensyarah yang akan terlibat dalam sesi saya, tetapi saya tidak pasti siapakah pembaca draft saya. SV saya lah yang bantu beritahu jika panel ini, begini. Jika panel itu, begitu. Saya dapat maklumat ketika dalam latihan. Sekiranya, pensyarah yang terlibat itu merupakan SV kepada kawan-kawan yang kita kenal, kita pergilah risik-risik. Mesti ada benda yang kita boleh tambah baik. Betul, ini memang betul-betul berlaku pada saya. 

Keenam, tambah pembetulan saat akhir. Eh, boleh ke? Saya secara jujur, banyak buat penambahan semasa pembentangan. Ada juga dalam 50 peratus, besar kan? Sebab saya dah nampak kelemahan dan kekurangan draft saya. Masa bila saya nampak kelemahan saya? Bila saya banyak buat latihan.  Saya tambah sahaja. SV saya juga sokong. Kata mereka, setidak-tidaknya kita berusaha tunjukkan  penambahbaikan. Alhamdulillah, panel pembaca menerima dengan hati terbuka. Tinggal nak tambah sahaja dalam pembetulan kan sebab sudah ada justifikasi. 

Ketujuh, percayakan SV dan usaha anda sendiri. 
Yang ni memang saya nak pesan, ikhlas dari hati saya. SV kita tu memang dah berpengalaman, sangat-sangat lah kalau nak dibandingkan dengan kita yang baru nak belajar. Dengar nasihat dan pandangan mereka. Saya sendiri ni, hampir-hampir untuk tukar ayat persoalan kajian saya lepas saya pergi kelas bimbingan tambahan. Kata orang yang bimbing tu, jika saya tidak tukar ayat pada objektif dan persoalan kajian saya, saya akan dapat major correction. Apa rasa ya bila orang tu kata gitu? Saya tetap tak tukar sebab saya yakin dengan SV saya. Pada hari PD, objektif dan persoalan kajian saya tu tepat dan rasional untuk dikaji. Nampak? Boleh cari macam-macam ilmu kat luar sana, tetapi cari orang yang bertauliah dan diiktiraf. Yang sama mengaji dengan kita, boleh dengar, pertimbangkan dengan betul. Sebab hujungnya, kita perlu allign dengan SV kita juga. 

Kelapan, teknikal. Bila sesi PD kita online, semua ni penting. Rasanya semua dah tahu, boleh Google aje macam mana nak bagi suara sedaplah, muka cantik, sharp dan macam-macam lagi. Oh ye, PD online ni boleh lah share link GM dengan kawan-kawan. Saya share juga link tetapi dengan kawan-kawan yang rapat. Bukan apa, saya masih gemuruh. Saya masih belum bersedia nak beri ramai masuk tengok saya. Tak kuat. 

Kesembilan, persiapan mental, rohani dan fizikal. Memandang semua yang belajar PhD ni adalah pilihan sendiri, sudah pasti masing-masing mempunyai cara terbaik untuk diri sendiri. Saya simpulkan, jaga 3 benda ni. Banyak tips-tips yang kawan-kawan boleh dapatkan. Yang ini tidak perlulah saya ulas panjang lebar. 

Kesepuluh, senyum sepanjang sesi. Senyum. Walaupun masa dapat komen daripada panel tu macam pisau tertusuk ke dada, telinga dah panas, mata pun bergenang tinggal nak mengalir, ingat untuk angguk kepala dan senyum. Saya paling ingat bila panel puji saya, macam biasa awal-awal tu memang mereka puji. Mereka kata penulisan saya ada kohesi dan koheren, mudah dibaca dan difahami, terus kepada maksud. Masa tu rasa macam nak meloncat. Sebab apa, inilah antara benda yang saya sangat risaukan. Penulisan macam budak tadika. Pujian ini menjadi pengubat saya meskipun lepas tu berdas-das kena. Haha. Saya juga masih ingat, pengerusi sesi kata saya menjawab dengan tenang semua soalan. Ini ada yang berjawab dengan fakta dan ada yang dijawab ikut suka. Agak-agak boleh tahu tak kenapa saya boleh tenang? tu, tips kat atas tu. 

Kawan-kawan, PD adalah medan untuk kita belajar banyak perkara baru. Sesi saya berjalan selama 2 jam ya. Kematu duduk lama. Tetapi itulah kenangan manis yang mengajar kita erti perjuangan. 

Alhamdulillah, saya lulus dengan pembetulan. 
Ya, saya menangis. Terlalu banyak sebab kenapa saya menangis. 
Maka, di hujung penulisan ini, saya mengajak kawan-kawan jangan berhenti berharap. 
Marilah kita sama-sama teruskan perjuangan kita. 
Jika penat, berehatlah. Jika mengantuk, tidur. 
Sebab esoknya, kita akan bangun dengan semangat yang baru. Jumpa lagi nanti. 

2 comments: