11.16.2021

Kesian Maggie

Biasalah tu, junior minta tips daripada senior. Senior pulak, macam betul, macam tak berapa betul lagi perjalanan belajarnya, cubalah sedaya upaya untuk bantu mana yang boleh.

Memang betul pun, senior banyak sangat dah belajar. Dan banyak jugalah menagisnya. Jadi, saya memang terujalah nak share pengalaman sendiri. Jadi petang tu, saya pun dah buatlah kerangka, lukis-lukis sikit. Catat-catat sikit sementara nak tunggu jam 5.00 petang. 

Junior tanya tentang cara pemakanan saya. Dengan cara hidup yang mudah dan simple, saya makan semua, lebih-lebih lagi makanan free. 

Sambungnya, “Tak boleh makan Maggie kan, Lea. Maggie ni tak bagus untuk orang yang belajar. Ada kawan akak tu cakap, Dr Bobot haramkan Maggie masa belajar. Sebab tak bagus.”

Alahai, kesian Maggie. Seingat saya, mak dulu ada juga masakkan Maggie, letak sayur sawi pendek, telur, fish cake dan bawang. Masa tu, sekolah rendah. Makan suam-suam dan rebut-rebut dengan adik-adik yang lain. Sedap sangat. Dan saya masih makan Maggie sampai tua bangka ni. Cuma masakan saya tak sedap macam masakan campak-campak mak. Tak pandai campak agaknya. Elok aje sampai sekarang. 

Mujurlah saya tak kenal siapa Dr Bobot. Dan, sudah pasti Dr Bobot ni bukanlah SV saya. Kalau tidak, saya kena tahan diri daripada makan Maggie selagi belum habis belajar. 

Keterangan gambar: Mak selitkan Maggie kari sekali masa poskan buah-buahan dari kampung Mac lalu. 



11.15.2021

3 Kali Temuduga HLP

Saya ditemuduga untuk biasiswa KPM ni dah 3 kali. Kali pertama pada tahun 2013 untuk peringkat master. Saya masih ingat, soalan pertama panel di bilik temuduga. 
“Apakah teknik pengumpulan data bagi kaedah kualitatif?”
Saya jawab - Maaf encik, saya tak tahu. 
Saya betul-betul blank masa tu. Disebabkan diam terlalu lama, panel ucapkan terima kasih dan saya keluar dari bilik temuduga. Masa tu dah nekad dalam hati, tak ingin mohon lagi. 

Manusia ni mudah lupa. Tahun 2015, saya mohon lagi untuk peringkat master dan tidak berjaya. Merajuk sekejap, saya mohon myBrain15. Kemudian, saya mohon pulak untuk PhD. Tahun 2019, tak masuk pun senarai layak ditemuduga. Mohon lagi pada tahun 2020. 

Sekarang, sudah masuk tahun ke- 2. Semua pengalaman itu saya tulis di blog ini. Saya menulis sekadar suka-suka sahaja. Blog saya ni macam tempat buat CURHAT (curahan hati). Ada masa tidak kemas kini berminggu-minggu. Malah, saya beranggapan tak ada siapa pun yang kisah dengan kewujudan blog tu melainkan saya sendiri. 

Sekitar bulan Ogos lepas, saya dapat panggilan telefon dari seorang kawan lama di Jalan Duta. 

"Akak cuba hubungi Lea tak dapat. Akak dapat pergi interview masa tu, akak pun Google nak kena buat apa. Akak jumpa blog Lea. Akak ikut cadangan-cadangan yang Lea tulis. Terima kasih tau, baguslah Lea tulis. Memang membantu akak."

Baru saya sedar, ada juga yang mendapat manfaat daripada penulisan saya. Rasa kembang setaman. Rasa macam terbang di awan. Alhamdulillah, semoga kita sama-sama terus berjuang.

Ingin sekali bertemu dengan penemuduga saya pada tahun 2013 dahuu. Saya ingin katakan padanya, “Encik, saya dah boleh jawab soalan encik,”🤣