“Mek, kau bz study ke? Jom lepak. Kita kena pot pet pot pet ni. Dah masuk tahun 2022, banyak cerita aku nak luah kat kau. Nak recharge.”
Kenapa nak kisah tentang sahabat? Kerana satu ketika dulu, saya ada seorang sahabat. Sahabat yang sudi memberi ruang dan perhatiannya untuk saya.
Saya pernah gagal dalam perkahwinan dan ia bukan semudah yang boleh anda gambarkan. Lebih-lebih lagi, saya perlu hadapinya dalam usia yang masih muda. Saya masih ingat, ketika saya berada dalam ruang paling gelap dalam kehidupan saya, ketika saya merasakan kawan baik saya menghilang seperti debu, dunia seakan berhenti berputar, telah datang seorang insan yang tulus dan baik hatinya, memegang dan memimpin tangan saya keluar dari kegelapan itu.
Kak Linah.
Dia menerima saya sebagai sahabat tanpa syarat. Dia ajak saya ke rumah, makan bersama, tengok tv bersama, malah saya boleh masuk keluar dia macam rumah sendiri. Suaminya, anak-anaknya, tak pernah tanya apa-apa. Tak pernah. Mereka melayan saya seolah-olah saya adalah salah seorang daripada ahli keluarga mereka. Malah, dia juga tak pernah tanya apa perasaan saya, atau menasihatkan saya untuk buat itu ini, tetapi dia hanya biarkan saya. Dia beri saya masa dan ruang. Mungkin disebabkan masa dan ruang yang diberikan, saya dapat merenung dalam-dalam kehidupan saya. Disebabkan masa dan ruang yang diberikan, saya beranikan diri menempuh fasa baru dalam kehidupan. Sabarnya dia pada keadaan saya pada masa itu memberi kebaikan kepada diri saya sendiri.
Jika pada hari itu, Kak Linah tidak datang menemui saya dan mengajak saya ke rumahnya, pasti saya bukan seperti diri saya yang sekarang. Sebetulnya, dia hanya rakan sekerja, mungkin pernah makan semeja, borak-borak ketawa jarang sekali, malah dia juga bukan pilihan saya, jika nak minta tolong apa-apa. Bukan dia. Tetapi Ilahi menetapkan takdir yang berbeza sekali untuk kami.
Tidak pernah saya jangkakan, tidak pernah melintas dalam benak kepala saya, kak Linah akan menjadi seseorang yang penting dalam hidup saya. Sedikit perhatian daripada Kak Linah, adalah pertolongan daripada Allah SWT, telah membuka mata akal dan hati saya. Sedikit perhatian, satu ajakan, telah mengubah kehidupan saya, seluruhnya. Terima kasih kak Linah, tenanglah dikau di negeri abadi.
Dan sekarang, saya berusaha pula memberi ruang dan perhatian, meskipun ia hanya sekecil kuman, kepada sahabat yang memerlukan.
Daripada Ibnu Umar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mukmin yang bercampur (berinteraksi) dengan manusia dan bersabar atas perbuatan buruk mereka, lebih besar ganjaran untuknya dari mereka yang tidak bercampur (berinteraksi) dengan manusia dan tidak bersabar atas perbuatan buruk mereka." - HR Ibnu Majah No:4022, Status Hadis Sahih ( disalin kembali daripada buku 1 Hari 1 Hadis, Jilid 7, Prof. Dr. Ajmain Safar, ms 7).