1.17.2022

Diari Atau Planner Pilihan Hati Anda

Diari atau planner? Diari atau planner? Secara mudah, diari untuk menulis catatan harian, manakala planner sebagai alat untuk menyusun tugasan, temu janji, due date. Saya ada 1 diari dan 1 planner.

Pertama, saya sediakan diari untuk merekod perjalanan pembelajaran saya. Bermula dari semester pertama pada Oktober 2020 sehingga kini. Saya boleh jejak semula apa yang telah saya lakukan setiap hari. Sebagai contoh, tulis 5 muka surat, perjumpaan dengan SV, mula menulis Bab 2, artikel kena komen dengan penilai, menangis tak sudah. Semua kejadian ini ditulis kemas beserta tarikh. Kalau ada yang berminat nak baca, silakan. Saya sudi berkongsi pengalaman saya sebagai panduan orang lain. 

Setiap tahun, saya mengalami dilema untuk memilih planner yang kena dengan jiwa. Tahun ini, saya menggunakan weekly planner dari Passion Planner. Berkulit merah, bersaiz A5 dan kertas putih serta banyak ruang kosong. Saya sejenis suka tulis, tampal-tampal, lukis-lukis walaupun tidak berseni. Boleh tampal gambar, sticker cute mute dan sesekali buat CURHAT (curahan hati). Saya catat temu janji, due date, perancangan saya semua di sini secara mingguan dan bulanan. 

Bagi saya, memiliki diari atau planner, membantu saya mengurus masa dengan baik. Saya boleh fokus dengan target-target kecil setiap hari di samping mempunyai target yang besar untuk dicapai. Mungkin pada sesetengah orang, menulis pencapaian setiap hari agak memenatkan. Tidak begitu pada saya. Menulis pencapaian sendiri merupakan refleksi terhadap perkembangan diri. Bukan untuk dibanggakan kepada orang lain, tetapi motivasi kepada diri bahawa kita sentiasa berubah. Seronok juga ulang membaca, sebagai peringatan kepada diri, bahawa hidup ini indah dari sudut pandang kita yang mengalaminya penuh makna. Siapa tahu, di masa akan datang, boleh buat buku kisah hidup.

Kelebihan lain yang boleh dipertimbangkan untuk memiliki sebuah planner ialah

  • Meningkatkan produktiviti
  • Mengurangkan penyakit lupa
  • Mengurangkan tekanan
  • Fokus pada aktiviti yang penting
  • Menghargai pencapaian

















0 comments:

Post a Comment