1.18.2022

Mencari Tahu dan Membaca Sikap Terbaik Bagi Pelajar



Sudah menjadi lumrah, sebelum bertanya mestilah dimulakan dengan mencari tahu dan membaca terlebih dahulu. Jadi, tidak wajar jika seorang pelajar mengakui bahawa dia tidak membaca artikel-artikel berkaitan dengan metodologi kajian kerana belum sampai waktunya. Malah, mengatakan pensyarahnya tidak suruh. Pelajar dewasa lebih berautonomi dalam pembelajaran mereka. Mereka lebih berupaya mencari maklumat dan berfikir kerana mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang sematang usianya. 

Sedihkan? Tak apa, kita jadikan pengajaran dan sempadan. Mungkin cerita di bawah boleh dijadikan pedoman untuk kita di masa hadapan. 

Satu hari, saya serahkan kertas soalan peperiksaan pertengahan tahun yang sudah ditanda kepada murid. Seperti biasa, saya pesan kepada mereka, 
“Jika kamu ingin tambah markah atau kurangkan markah, mari bincang dengan saya. Kita boleh pertimbangkan bersama-sama tapi bukan hari ini. Kamu boleh tengok betul-betul di rumah dan bincang dengan kawan terlebih dahulu.”

Seorang murid angkat tangan dan bertanya, 
“Ustazah, boleh tak nak bawa apa sahaja sebagai rujukan?” 
Saya menjawab, “Ya, boleh”. 

Hari yang ditunggu pun tiba, anak-anak murid beratur panjang untuk tukar markah. Ada juga seorang dua yang datang beritahu, saya salah kira markah, tak apa, saya biarkan markah itu kekal. Gembira mereka. 

Saya tertarik dengan sekumpulan murid, dalam 10 orang begitu, datang serentak ke meja. Mereka membawa buku rujukan, buku teks, kertas soalan dari ujian yang terdahulu serta kertas ujian dari rakan lain, yang saya tanda betul pada kertas jawapan mereka. Mereka bawakan pelbagai sumber sebagai bahan sokongan untuk ditunjukkan kepada saya. 2 markah sahaja, apalah sangat. Selepas berbincang dengan panjang lebar, dapatlah 2 markah tambahan yang diidamkan. Sebahagian besar daripada mereka dapat mengubah gred. Ada yang mencecah 100. Dan ada juga masih berada di gred yang sama. 

Di sini, saya belajar beberapa perkara:
1. Bukan kita seorang sahaja ada masalah, orang lain pun ada juga. 
2. Cari maklumat dari pelbagai sumber yang boleh membantu.
3. Rujuk kepada yang pakar.  
4. Semua orang mempunyai kepentingan yang berbeza meskipun mempunyai tujuan yang sama.  
5. Rajinkan diri membaca dan mencari tahu sebelum bertanya.

Jika murid sekolah menengah boleh berfikir begini, masakan pelajar dewasa tidak terfikir begini. 

0 comments:

Post a Comment