2.21.2022

Lima Hari Termenung Kerana Artikel Tak Siap

Diam-diam dah masuk bulan February di tahun 2022. Apa agaknya refleksi pencapaian anda semua? Saya sendiri bercita-cita untuk memenuhi apa target saya setiap hari. Setiap hari saya akan buka planner saya dan lihat apa yang saya perlu capai. Ada kalanya kosong, maka saya plan lah pagi tu. Ada kalanya dah terisi dengan aktiviti, jadi mana baki masa yang ada tu, letak target kecil-kecil. Bila target kecil, tak adalah rasa beban sangat kan? Beginilah bila menjadi pelajar secara sepenuh masa. Kena susun masa elok-elok. 

Hari ini, saya nak cerita kisah benar tentang pelajar PhD yang termenung kerana artikel yang tak siap. Ini betul-betul berlaku. Ini adalah cerita saya. 

14 Februari, saya terima laporan daripada penilai di jurnal al-Hikmah. Artikel yang saya hantar pada hari terakhir tahun 2021. Entah kenapa, saya rasa lemah semangat bila membaca komen kali pertama. Artikel saya dipertimbangkan untuk diterbitkan tetapi perlukan tambah baik yang agak banyak. Setelah dua janm bersedih, saya nak baca sekali lagi komen dengan warasnya, saya ajak Amnah, kawan seperjuangan untuk dengar. Selepas perbincangan panjang, kami membuat kata putus. Ya, memang betul artikel saya bannyak kekurangan kerana kandungannya tidak jelas. Jadi, ini adalah salah saya sendiri. 

Bagi menghilangkan rasa sedih dan kecewa, saya alihkan perhatian saya kepada penulisan bab 5. 15 Februari, saya hanya mampu tulis dua baris sahaja. Saya cuba lagi pada 16 Februari, dapat siapkan 1 objektif di bab 5. Kemudian, termenung lagi. 

Puas saya fikirkan, apa masalahnya? Tahu kenapa? Sebenarnya, otak saya mempunyai beban terhadap artikel yang tak siap tu. Artikel yang kena komen tu. Artikel yang saya tolak tepi, saya tak nak sentuh tu, telah menyebabkan mental saya block. Tak boleh buat apa. Saya tutup Bab 5, dan saya mula betulkan artikel yang kena komen tu. Lima hari saya termenung tengok artikel tu. Apa yang perlu dibuat sebenarnya? Kosong. Anda tahu, saya tengok YouTube dan khatam cerita Melayu tajuk Seputih Qaseh Ramadan. Baca artikel silih berganti tapi otak saya tak boleh brain, tak boleh jalan. 

Talian hayat saya, saya call mak saya.  Saya call mak dan tanya apa dia buat hari ini. Mak pun cerita panjang lebar apa dia buat. Biasalah, cerita Mak ni berulang-ulang. Kita dengar sahaja sehingga hujung, saya minta mak doakan saya. Mak tanya, ada exam ke? Saya jawab, ye, exam. Mak doakanlah akak bagi mudah jawab. Macam biasa, Mak hanya cakap, ok boleh.  Ini macam examlah kan, buat artikel ini. Tahu apa jadi? Dengan pertolongan Allah SWT, berkat doa mak dan suami, 19 Februari dah mula timbul ilham dan idea mencurah-curah. Otak saya macam terbuka hijab. Betapa saya bersyukurnya dengan kemunculan idea-idea tersebut, susah saya nak jelaskan dengan penulisan. Nikmat yang tidak tergambar. Macam air empangan yang pecah, melimpah-limpah. 

Boleh bayangkan macam mana saya stuck selama 5 hari, mengadap artikel dan membaca tiada apa yang boleh difahami? Sedih tau, sedih sangat. 

Maka, siaplah artikel saya pada 20 Februari. 21 Februari, selepas selesai semua semakan rujukan, saya ambil keputusan untuk tarik diri daripada jurnal tersebut. Saya sudah baiki artikel tersebut secara major, tukar tajuk dan hantar ke seminar EBEST2022. 

Nampakkan? Segala-galanya terpulang kepada Allah SWT. Kita hanya manusia biasa yang sentiasa meminta-minta malah serba kekurangan. Jadi, jika sekarang anda mengalami keadaan seperti saya, jangan panik. Move on dan rancang apa perlu buat. Begitulah PhD, kena hadap dengan hati yang kental. 

Teringat pada satu kata-kata, jika kita berhenti lama kepada satu soalan, jawapannya akan datang mencari kita. Tapi ada juga yang kata, jika tak dapat jawapan kepada soalan yang ada, mungkin soalan itu yang kena tukar untuk dapatkan jawapan. Dua-dua betul dan kedua-duanya benar. Jangan sampai takut dengan PhD, yang penting kita ikut flow. Ikut arus dan kita dayung perlahan-lahan. 




1.28.2022

Sahabat, Ruang dan Perhatian

“Mek, kau bz study ke? Jom lepak. Kita kena pot pet pot pet ni. Dah masuk tahun 2022, banyak cerita aku nak luah kat kau. Nak recharge.”

Saya terima mesej ringkas dari seorang sahabat pagi ini. Sementara saya masih tidak bekerja, boleh lah nak luang masa untuk borak panjang-panjang. Kami pernah berborak dalam kereta selama 3 jam non-stop sambil dia memandu. Dengan kemahiran memberi respons seperti bunyi, ehem…, emm…, owh, ye ke… oohhh…. a ha…., gerak tangan atas bawah, memek muka berkerut dan bulat mata, saya percaya, kami mampu berborak lebih lama dari itu. 

Kenapa nak kisah tentang sahabat? Kerana satu ketika dulu, saya ada seorang sahabat. Sahabat yang sudi memberi ruang dan perhatiannya untuk saya. 

Saya pernah gagal dalam perkahwinan dan ia bukan semudah yang boleh anda gambarkan. Lebih-lebih lagi, saya perlu hadapinya dalam usia yang masih muda. Saya masih ingat, ketika saya berada dalam ruang paling gelap dalam kehidupan saya, ketika saya merasakan kawan baik saya menghilang seperti debu, dunia seakan berhenti berputar, telah datang seorang insan yang tulus dan baik hatinya, memegang dan memimpin tangan saya keluar dari kegelapan itu. 

Kak Linah. 
Dia menerima saya sebagai sahabat tanpa syarat. Dia ajak saya ke rumah, makan bersama, tengok tv bersama, malah saya boleh masuk keluar dia macam rumah sendiri. Suaminya, anak-anaknya, tak pernah tanya apa-apa. Tak pernah. Mereka melayan saya seolah-olah saya adalah salah seorang daripada ahli keluarga mereka. Malah, dia juga tak pernah tanya apa perasaan saya, atau menasihatkan saya untuk buat itu ini, tetapi dia hanya biarkan saya. Dia beri saya masa dan ruang. Mungkin disebabkan masa dan ruang yang diberikan, saya dapat merenung dalam-dalam kehidupan saya. Disebabkan masa dan ruang yang diberikan, saya beranikan diri menempuh fasa baru dalam kehidupan. Sabarnya dia pada keadaan saya pada masa itu memberi kebaikan kepada diri saya sendiri. 

Jika pada hari itu, Kak Linah tidak datang menemui saya dan mengajak saya ke rumahnya, pasti saya bukan seperti diri saya yang sekarang. Sebetulnya, dia hanya rakan sekerja, mungkin pernah makan semeja, borak-borak ketawa jarang sekali, malah dia juga bukan pilihan saya, jika nak minta tolong apa-apa. Bukan dia. Tetapi Ilahi menetapkan takdir yang berbeza sekali untuk kami. 

Tidak pernah saya jangkakan, tidak pernah melintas dalam benak kepala saya, kak Linah akan menjadi seseorang yang penting dalam hidup saya. Sedikit perhatian daripada Kak Linah, adalah pertolongan daripada Allah SWT, telah membuka mata akal dan hati saya. Sedikit perhatian, satu ajakan, telah mengubah kehidupan saya, seluruhnya. Terima kasih kak Linah, tenanglah dikau di negeri abadi. 

Dan sekarang, saya berusaha pula memberi ruang dan perhatian, meskipun ia hanya sekecil kuman, kepada sahabat yang memerlukan.

Daripada Ibnu Umar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mukmin yang bercampur (berinteraksi) dengan manusia dan bersabar atas perbuatan buruk mereka, lebih besar ganjaran untuknya dari mereka yang tidak bercampur (berinteraksi) dengan manusia dan tidak bersabar atas perbuatan buruk mereka." - HR Ibnu Majah No:4022, Status Hadis Sahih ( disalin kembali daripada buku 1 Hari 1 Hadis, Jilid 7, Prof. Dr. Ajmain Safar, ms 7). 


1.18.2022

Mencari Tahu dan Membaca Sikap Terbaik Bagi Pelajar



Sudah menjadi lumrah, sebelum bertanya mestilah dimulakan dengan mencari tahu dan membaca terlebih dahulu. Jadi, tidak wajar jika seorang pelajar mengakui bahawa dia tidak membaca artikel-artikel berkaitan dengan metodologi kajian kerana belum sampai waktunya. Malah, mengatakan pensyarahnya tidak suruh. Pelajar dewasa lebih berautonomi dalam pembelajaran mereka. Mereka lebih berupaya mencari maklumat dan berfikir kerana mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang sematang usianya. 

Sedihkan? Tak apa, kita jadikan pengajaran dan sempadan. Mungkin cerita di bawah boleh dijadikan pedoman untuk kita di masa hadapan. 

Satu hari, saya serahkan kertas soalan peperiksaan pertengahan tahun yang sudah ditanda kepada murid. Seperti biasa, saya pesan kepada mereka, 
“Jika kamu ingin tambah markah atau kurangkan markah, mari bincang dengan saya. Kita boleh pertimbangkan bersama-sama tapi bukan hari ini. Kamu boleh tengok betul-betul di rumah dan bincang dengan kawan terlebih dahulu.”

Seorang murid angkat tangan dan bertanya, 
“Ustazah, boleh tak nak bawa apa sahaja sebagai rujukan?” 
Saya menjawab, “Ya, boleh”. 

Hari yang ditunggu pun tiba, anak-anak murid beratur panjang untuk tukar markah. Ada juga seorang dua yang datang beritahu, saya salah kira markah, tak apa, saya biarkan markah itu kekal. Gembira mereka. 

Saya tertarik dengan sekumpulan murid, dalam 10 orang begitu, datang serentak ke meja. Mereka membawa buku rujukan, buku teks, kertas soalan dari ujian yang terdahulu serta kertas ujian dari rakan lain, yang saya tanda betul pada kertas jawapan mereka. Mereka bawakan pelbagai sumber sebagai bahan sokongan untuk ditunjukkan kepada saya. 2 markah sahaja, apalah sangat. Selepas berbincang dengan panjang lebar, dapatlah 2 markah tambahan yang diidamkan. Sebahagian besar daripada mereka dapat mengubah gred. Ada yang mencecah 100. Dan ada juga masih berada di gred yang sama. 

Di sini, saya belajar beberapa perkara:
1. Bukan kita seorang sahaja ada masalah, orang lain pun ada juga. 
2. Cari maklumat dari pelbagai sumber yang boleh membantu.
3. Rujuk kepada yang pakar.  
4. Semua orang mempunyai kepentingan yang berbeza meskipun mempunyai tujuan yang sama.  
5. Rajinkan diri membaca dan mencari tahu sebelum bertanya.

Jika murid sekolah menengah boleh berfikir begini, masakan pelajar dewasa tidak terfikir begini.